Minggu lalu, kecoh sebentarlaman media sosial tempatan apabila warganet sibuk bercakap mengenai insiden telefon pintar seorang murid Tahun Tiga yang terbakar sewaktu dia mengikuti kelas secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Foto yang dimuat naik oleh penjaga murid tersebut telah mendapat perhatian warganet yang turut sama terkejut dengan insiden melanda. Tambahan pula, peranti yang dimaksudkan itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri melalui inisiatif Program Jaringan Prihatin.
ARTIKEL BERKAITAN : “Bila Orang Sedekah, Kita Tidak Boleh Demand..” MB Perak Minta Pelajar Hargai Sumbangan Peranti – REMAJA
Pastinya, insiden sedemikian telah mendatangkan sedikit rasa gentar dalam diri murid berkenaan serta murid-murid lain di seluruh Malaysia yang menerima pemberian peranti yang sama, sebelum ini.
*
Hanya beberapa hari setelah insiden it berlaku, ternyata rezeki tidak pernah salah alamat.
Murid berkenaan yang diwakili oleh Puan Suryani Abd Ghani telah dihubungi oleh pihak Xiomi Malaysia untuk diberikan peranti baharu berupa telefon pintar Redmi Note 10 5G. Sumbangan ini adalah demi membantu meringankan beban ketika mengikut kelas PdPR.
Menurut pihak Xiomi ketika menghubungi REMAJA, usaha ini adalah untuk memberikan sokongan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan terutamanya dalam musim pandemik penuh mencabar ini.
Tinjauan REMAJA kepada akaun Facebook Puan Suryani baru-baru ini juga mendapati peranti baharu itu telah selamat diterima oleh murid berkenaan.
“Alhamdulillah. Terima kasih pada pihak Xiomi Malaysia yang sudi memberi (peranti baru) kepada adik Muhammad Shafie.
“Saya tidak pernah meminta untuk digantikan dengan peranti yang baru. Tetapi pihak Xiaomi Malaysia berbesar hati untuk menghulurkan bantuan bagi memudahkan pembelajaran PdPR melalui online.
“Mereka ikhlas menolong walaupun telah diterangkan keadaan sebenar. Saya amat terharu dengan keprihatinan pihak mereka. Saya rasa tiada masalah kalau saya terima untuk kemudahan adik Shafie,” jelasnya yang menerima ratusan komen positif yang memberikan semangat kepada murid tersebut.
Untuk pengetahuan, pihak mangsa juga telah menerima telefon pintar daripada jenama asal sebagai ganti rugi untuk insiden yang berlaku pada minggu lalu. Perkembangan tersebut telah dikongsikan oleh Puan Suryani menerusi laman Facebook Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) & KWSP 2021.
Apapun, mungkin inilah yang orang katakan sebagai ‘silver lining’!
Di sebalik segala masalah yang menimpa kita, pasti akan ada hikmahnya. Belajar rajin-rajin ya adik.