Filem Men In Black yang pertama dilancarkan pada tahun 1997, dibintangi oleh Will Smith dan Tommy Lee Jones sebagai Ejen J dan Ejen K mendapat kutipan box office sebanyak USD 589.4 juta, sekali gus membuktikan kehebatan filem tersebut.
Kemudian, muncul pula Men In Black 3 pada 2012 dan selepas lebih kurang 7 tahun menunggu naskhah terbaru daripada filem perisik nombor satu ini, Men In Black: International kini bakal menemui peminat di Malaysia.
Menampilkan wajah baru sebagai peranan utama dalam filem tersebut, gandingan Chris Hemsworth dan Tessa Thompson dilihat mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Bukan hanya memperkenalkan ejen-ejen terbaru mereka, Men In Black: International juga memperlihatkan kesan khas dan senjata lebih canggih dalam aktiviti risikan mereka, serta makhluk asing yang lebih ganas.
Bermula agak perlahan
Di awal permulaan cerita, filem ini dirasakan agak perlahan sedikit dan menimbulkan rasa kurang senang sebagai penonton. Namun begitu, setelah bermulanya perjalanan mereka untuk merungkai siapakah ‘musuh dalam selimut’ di MIB, penonton diasak dengan rasa tanda tanya siapakah sebenarnya dalang dalam kes tersebut.
Sebab utama ramai yang meminati filem MIB adalah kerana watak aliennya. Walaupun ganas, mereka agak comel dan menghiburkan. Hiks!
Kehadiran karakter ‘pawny’ juga sedikit sebanyak dapat menghidupkan elemen jenaka dan sepertinya membantu filem ini untuk menjadi lebih menarik ditonton.
Walaupun jalan ceritanya agak longgar, namun yang boleh kami katakan adalah Men In Black: International tidak kurang hebatnya. Lihat saja pelakon kacak Chris Hermsworth beraksi, pasti perempuan semua cair. Haha!
Lagak Tessa Thompson menjadi perisik juga menampilkan karakter berkaliber dan menyakinkan. Sungguh pun baru pertama kali beraksi dalam siri MIB, gandingan mantap mereka nampak serasi dan harus dipuji.
Apa-apa pun ini hanya pandangan peribadi kami. Kalau korang nak tahu, kenalah tonton sendiri kan?
Men In Black: International bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula 13 Jun 2019.
Selamat menonton!