Momen penuh emosi apabila pemain tenis Serbia, Novak Djokovic berjaya mengenepikan lawan dari Sepanyol, Carlos Alcaraz 7-6, 7-6 untuk memenangi pingat emas pertamanya di Sukan Olimpik awal minggu ini masih menjadi antara momen paling diperkatakan di temasya yang sedang berlangdung di Paris itu.
Djokovic, 37 terpaksa berhempas pulas sebelum mengecapi kemenangan keduannya di Sukan Olimpik selepas kali pertama melakukannya di Beijing 2008. Ini juga merupakan kali pertama Djokovic layak ke peringkat final Sukan Olimpik setelah bertanding di edisi berbeza sejak Beijing 2008.
Menariknya juga, kemenangan ini menjadikan Djokovic sebagai pemain tenis lelaki ketiga dalam sejarah sukan tenis untuk meraih gelaran Golden Career Slam.
Maka, tidak hairanlah apabila Djokovic dihambat emosi dan memeluk anak perempuan sebaik yang berada di tempat duduk penonton setelah memenangi perlawanan perseorangan lelaki itu.
Sebagai info, kerajaan negara Serbia memperuntukkan habuan wang tunai bernilai 172,000 Euro atau kira-kira RM978,072 kepada atlet negaranya yang memenangi pingat emas di Sukan Olimpik kali ini. Pingat perak dari Serbia pula akan membawa pulang 100,000 Euro (RM489,437) manakala pemenang pingat gangsa sebanyak 60,000 Euro (RM293,662).
Begitupun semalam, jaguh tenis itu dilaporkan merancang untuk menyerahkan wang tersebut bagi misi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.
Selain Djokovic, dua orang atlet Serbia turut berjaya memenangi pingat emas setakat ini iaitu Zorana Arunovic dan Damir Mikec dalam acara pistol angin campuran 10m. Lalu, mereka bertiga layak memperolehi habuan tersebut.
Tambah membanggakan lagi, Djokovic juga baru sahaja mengesahkan penyertaannya dalam perlawanan amal menentang Grigor Dimitrov pada 17 September ini selepas kejohanan Terbuka AS melabuhkan tirainya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.