‘Menang’ Hadiah Cabutan Bertuah iPhone 12 Pro Max, Remaja Kena Scam RM26,200

Share

Nampaknya kes penipuan yang melibatkan scammer masih lagi belum berakhir, malah ada individu yang turut menjadi mangsa akibat tindakan licik individu tidak bertanggungjawab ini.

Baru-baru ini, seorang remaja berusia 17 tahun menjadi mangsa scammer apabila dia yang pada asalnya ingin membeli sehelai blaus dan perlu membayar RM200 termasuk kos penghantaran akhirnya kerugian RM26,000 selepas ditawarkan cabutan bertuah memenangi seunit iPhone 12 Pro Max.

Menurut Harian Metro, mangsa berminat untuk membeli sehelai blaus dan berurusan dengan penjual melalui aplikasi mesej di Instagram yang memintanya memasukkan RM200 ke satu akaun bank milik individu bagi bayaran baju berkenaan termasuk kos penghantaran.

Foto: Lindsey LaMont
(Gambar hiasan)

Beberapa hari kemudian, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada satu talian tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai wakil dari butik pakaian berkenaan dan memaklumkan mangsa memenangi cabutan bertuah seunit iPhone 12 Pro Max dan diminta membuat bayaran terlebih dahulu sebagai wang jaminan.

Mangsa seterusnya membuat pindahan wang sebanyak RM1000 ke satu akaun bank milik individu berbeza menggunakan perkhidmatan perbankan internet milik ibunya.

Mangsa kemudiannya diminta untuk membuat tiga lagi bayaran berjumlah RM7,000 ke akaun bank yang sama kononnya sebagai wang cagaran yang akan dipulangkan semula.

Dalam tempoh beberapa hari kemudian, mangsa masih lagi diminta membuat beberapa lagi bayaran berjumlah RM18,000 ke beberapa akaun bank lain milik individu berbeza bagi pelbagai tujuan seperti untuk membuka kata laluan iPhone 12 Pro Max berkenaan, selain untuk kos penghantaran.

Foto: Pickawood (Gambar hiasan)

Akhirnya mangsa mengesyaki dirinya ditipu selepas menerima satu panggilan aplikasi WhatsApp memperkenalkan diri sebagai pegawai bank memintanya membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan kembali wang miliknya dan jika tidak berbuat demikian, remaja itu diugut akan dibawa ke mahkamah.

Mangsa yang belum menerima baju yang dibelinya dan juga hadiah cabutan bertuah itu terus membuat laporan polis dengan jumlah kerugian RM26,200.

Foto: Apple (Gambar hiasan)

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan tawaran iklan barangan atau perkhidmatan secara dalam talian terutama yang meminta bayaran ke akaun bank milik individu yang tidak dikenali.

Orang ramai juga diminta untuk tidak cepat rasa teruja dan mempercayai sebarang tawaran hadiah cabutan bertuah yang meminta bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum hadiah berkenaan diterima.

Orang ramai juga disaran membuat semakan nombor akaun bank dan juga nombor talian di laman web semakmule

atau di aplikasi telefon pintar “Check Scammers CCID’ yang boleh dimuat turun secara percuma.

Talian CCID Scam Response Centre 03-2610 1559 / 03-2610 1599 juga boleh dihubungi untuk pertanyaan lanjut mengenai modus operandi jenayah komersil dan juga untuk mangsa hubungi sekiranya sudah melakukan transaksi bayaran ke akaun keldai.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana mudahnya remaja ini terpedaya dengan sindiket penipuan, tiada siapa yang ingin kejadian seperti ini berlaku dan semoga ia dijadikan pengajaran buat semua lapisan masyarakat.

**

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1)

Published by
Noor Ain Norman