Di kala hampir keseluruhan rakyat Malaysia sedang mempraktiskan amalan kendiri dengan duduk di rumah demi melandaikan jumlah kes baharu COVID-19 di negara kita, nampaknya ada segelintir pihak yang masih rakus menggadai alam sekitar demi kelangsungan hidup (dan poket) mereka.
Perkongsian beberapa imej daripada akaun Facebook Kuala Krai Kini sejak 2 Jun lalu telah menghampakan ramai warganet. Imej yang menunjukkan perubahan ketara warna air serta persekitaran di kawasan rekreasi Air Terjun Lata Y, Sungai Rek dekat Kuala Krai, Kelantan telah mengundang perasaan kecewa serta amarah orang ramai.
Ini termasuklah pelakon dan aktivis alam sekitar, Maya Karin Roelcke.
“Mendidih darah saya..,” catatnya menerusi ciapan di Twitter kelmarin setelah terlihat foto perbandingan Air Terjun Lata Y antara Mei 2020 dan Jun 2021. Sememangnya ibarat langit dan bumi!
My blood is simmering… https://t.co/mt0aeTPMLE
— Maya Karin (@maya_karin) June 2, 2021
Skala serangan ke atas biodiversiti di sana jelas membuktikan bahawa kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar di negara kita masih ‘kalah’ dengan kepentingan peribadi sesetengah pihak.
Dakwa akaun Facebook Kuala Krai Kini, kehancuran alam sekitar ini adalah impak daripada aktiviti pembalakan yang masih aktif dilakukan di sekitar Hutan Simpan Sungai REK di Kuala Krai, Kelantan.
Lapor rakan media di Sinar Harian yang telah turun padang semalam bagi meninjau kawasan Lata Y pula, mereka telah mendapatkan maklum balas daripada Pengarah Perhutanan Kelantan iaitu Encik Abdul Khalim Abu Samah.
Kata beliau, keadaan air keruh itu berlaku kemungkinan susulan hujan lebat pada hari Selasa lalu dan kebiasaannya, keadaan air akan kembali pulih seperti sedia kala selepas cuaca baik.
Dalam pada itu, kerajaan Kelantan telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri untuk melakukan siasatan lanjut berkaitan imej pencemaran air yang telah tular itu.
ARTIKEL BERKAITAN : Saintis Bukti Pencemaran Alam Punca Kesuburan Lelaki Sekarang Menurun – REMAJA
*
Haih, tahun demi tahun ada saja laporan mengenai penindasan terhadap alam di Malasyia yang semakin hari semakin pupus.
Mana mungkin sekumpulan kecil pejuang alam sekitar seperti Maya Karin, sebagai contoh, dapat mempertahankan khazanah semulajadi ini sekiranya pihak-pihak tidak bertanggungjawab masih meneruskan sifat ketidakpedulian mereka demi mencekup hasil lumayan?
BACA LAGI : Bosan Dengan Island Hopping? 5 Aktiviti Dalam Hutan Ni Boleh Korang Lakukan Di Sabah – REMAJA