Dalam pertandingan sukan, kebiasaannya akan ada peraturan mengenai pakaian yang perlu dipakai oleh para atlet yang bertanding. Ia haruslah selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa pertandingan itu sendiri.
Agak malang bagi atlet wanita terutamanya apabila sesetengah daripada mereka mungkin tidak terlalu selesa dengan pakaian yang harus dipakai. Kita sebagai penonton dan penyokong juga serba tahu ada pakaian sukan yang mungkin terlalu menonjolkan bentuk badan seperti sukan gimnastik artistik, terjun, bola tampar pantai dan sebagainya.
Justeru, untuk tampil lain daripada yang lain, skuad gimnas dari Jerman telah membuat keputusan berani dan menggantikan pakaian leotard kepada pakaian unitard yang lebih sopan ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020, minggu ini.
Skuad yang terdiri daripada Elisabeth Seitz, Pauline Schaefer-Betz, Kim Bui dan Sarah Voss ini melakukan perubahan ini bertujuan untuk menentang isu ‘sexualisation’ dan ‘objectification’ yang selalu dihadapi oleh atlet wanita.
Keempat-empat anak muda ini mencuri tumpuan lensa kamera dunia apabila mengenakan seragam berwarna merah jambu, merah kedam, putih dan corak geometri hitam serta berseluar panjang ketat.
Kata Elisabeth, 27, “Kami ingin tunjukkan bahawa semua wanita, semua orang, harus mempunyai pilihan untuk memakai apa saja.”
Tambah Sarah Voss, “Sebagai satu pasukan, kami buat keputusan untuk memakai bodysuit sebelum berjumpa di venue. Kami duduk sama-sama dan berkata, OK; we want to feel amazing and we want to show everyone that we look amazing.”
Apa yang penting buat skuad ini adalah keselesaan atlet itu sendiri terutamanya untuk membantu atlet yang lebih muda merasa selamat ketika beraksi.
Sejak 1970-an, gimnas wanita sering mengenakan pakaian leotard. Malah disebabkan oleh peraturan pakaian tersebut, kebanyakan negara konservatif atau yang mempunyai majoriti penduduk Islam melarang acara gimnastik artistik wanita daripada dipertandingkan semasa mereka menjadi tuan rumah kejohanan sukan bertaraf antarabangsa.
Tindakan skuad gimnas Jerman ini sedikit sebanyak membuka mata dunia bahawa tradisi pemakaian yang ditentukan oleh Persekutuan Gimnastik Antarabangsa boleh saja ‘dipecahkan’ tanpa ia menganggu prestasi persembahan atlet.
Bak kata Kim Bui, mereka juga telah terbiasa berlatih dengan memakai seluar ketat dan bukannya leotard. Jadi, seluar panjang tidak mendatangkan masalah.
Menariknya, ini bukanlah kali pertama skuad gimnas Jerman mengenakan unitard semasa bertanding. Pada April lalu, mereka turut memakainya sewaktu kejohanan Eropah.
Biarpun skuad gimnas Jerman ini tidak berjaya melangkah ke pusingan seterusnya, mereka haru berbangga apabila mengubah stigma pakaian bersukan ini. Unitard juga diramalkan akan menjadi trend dalam dunia sukan lain.
Contoh paling terdekat adalah sukan bola tampar pantai wanita. Amat malang sekali apabila setiap atlet wanita yang mewakili Norway di didenda 150 Euro seorang kerana mereka memakai seluar pendek dan bukannya bikini ketika bertanding. Tindakan denda ini telah menyemarakkan sedikit rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat sukan kerana atlet lelaki bola tampar pantai bebas untuk memakai seluar pendek (boarding shorts).
Atas dasar menyokong hak wanita untuk memakai pakaian sukan yang membuatkan mereka selesa, penyanyi pop, Pink juga dilaporkan ingin membayar denda tersebut bagi pihak skuad Norway ini.
P.S : Sejuk mata memandang pakaian yang dikenakan oleh skuad gimnastik Jerman ni kan.