Cheong Jun Hoong Bertuah Terima Kardigan Yang Dikait Tom Daley

Share

Kecoh beberapa hari ini tentang atlet terjun Great Britain, Tom Daley yang asyik mengait sambil menyaksikan rakan atlet lain bertanding. Dia yang menggondol emas Olimpik sulungnya dalam acara terjun bergandingan 10-meter mendapat hobi tersebut ketika lockdown mula-mula dilaksanakan di negaranya tahun lalu.

Kegilaannya terhadap hobi mengait ini jelas apabila dia turut mencipta satu akaun baru yang diberi nama ‘Made with Love by Tom Daley’ khusus untuk menampilkan hasil akhir dari hobinya itu.

Meninjau ke laman instagramnya, ternyata bukan sahaja untuk manusia, bahkan Tom turut membuat pelbagai jenis rekaan untuk haiwan kesayangan miliknya dan juga teman. Selain itu sebahagian kreativitinya itu turut dilelong untuk tujuan kebajikan.

Comel!

Menariknya dalam satu hantaran di laman Instagram, jejaka berusia 27 tahun ini turut menghadiahkan sehelai cardigan rona merah jambu hasil kaitannya kepada atlet terjun Malaysia, Cheong Jun Hoong.

Jun Hoong bersama Tom Daley

Dalam hantaran itu dia berkata, “Saya menghasilkan untuk rakan saya, Cheong Jun Hoong sehelai cardigan! Sementara berjauhan dengan keluarga ini saya telah menghasilkan banyak rekaan menggunakan benang @hooked.zpagetti yang berubah warna sepanjang penghasilannya. Saya obses dengannya!”

Tom turut menjelaskan dalam laporan portal iNews yang hobinya ini membantu dia mengahadapi tekanan ketika bertanding. “Mengait sudah menjadi satu cara untuk saya mencapai ketenangan, kesedaran dan melepaskan tekanan. Saya sukakannya. Belajar mengait banyak membantu perjalanan saya di Olimpik. Kami memang emas kelmarin dan saya menghasilkan sarung khas untuk medal supaya tidak tercalar,” ujarnya.

Sumber: iNews
Sumber gambar: Instagram Made with Love by Tom Daley

 

Published by
Fiezreen