Tidak keterlaluan jika ramai beranggapan kemunculan selebriti versatil, Janna Nick di acara anugerah pasti akan mencetuskan kisah hangat dan semalam tidak terkecuali.
Janna, 27 muncul di anugerah berprestij muzik tempatan, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 bagi menerima trofi bagi kategori Video Muzik Terbaik arahan Chuan looi menerusi single tular, Gatal.
Begitupun, kemenangan sulungnya di AIM itu seakan dibayangi kontroversi yang menyelubungi Janna dek kerana dakwaan kononnya dia memilih untuk ‘menyanyi’ secara lip sync atau miming semasa membuat persembahan Gatal semalam.
Dakwaan itu sekaligus menjadi topik bualan hangat warga maya terutama di Twitter melebihi berita-berita positif mengenai senarai pemenang kategori utama lain seperti Album Terbaik
, Lagu Terbaik dan sebagainya. Lebih mendukacitakan apabila sebilangan selebriti tempatan lain dilihat menyindir tindakan Janna yang tidak menyanyi secara langsung itu.Demi meredakan keadaan di platform media sosial, Janna tampil ke hadapan untuk mengakui dakwaan orang ramai itu dan sememangnya miming di pentas AIM.
Sambil memohon maaf disebabkan keputusannya itu, Janna bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri. Katanya, ia disebabkan keadaan kesihatan Janna yang masih tidak memuaskan selepas dia dijangkiti Influenza kira-kira dua minggu lalu.
“Saya sedar pilihan saya memakan diri..”
“Saya minta maaf kerana dianggap memalukan AIM23 keana miming di pentas anugerah berprestij #AIM23. Peluang untuk menyanyi di pentas besar itu sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat tanah air adalah satu impian yang memang dah lama saya impikan.
“Ketika pertama kali ditawarkan saya sangat berbesar hati. Akan tetapi sejak saya dijangkiti Influenza dua minggu lalu, kesihatan saya amat terganggu, katanya yang baru pulang dari tugasan kerja di Jakarta, Indonesia dan undangan ke Singapura.
Jadual yang padat ini juga kongsinya bertentangan dengan nasihat daripada doktor yang meminta Janna untuk berehat secukupnya.
Hantaran terbaru Janna untuk menjelaskan dirinya ini telah mendapat sokongan daripada beberapa selebriti tempatan termasuklah Wani Kayrie, Cik B, Hafreez Adam dan Nabila Razali yang mendoakan agar tahap kesihatan Janna bertambah baik.
ARTIKEL BERKAITAN : Dari Ke-4 Terbaik Ceria Popstar 3 Pada Tahun 2015, Vanessa Reynauld Kini Artis Baru Terbaik AIM – REMAJA
Terdahulu, keputusan Janna untuk menyanyi secara miming ini juga teruk mendapat tempias setelah persembahannya semalam dibandingkan dengan penyanyi lagenda seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Ella dan penyanyi muda seperti Aina Abdul dan Amir Masdi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.