Mengapa “Telur Dadar” Bukannya “Telor Dadar”?

Share

Kerap kali kita melihat menu “telor dadar” di kedai makan mahupun di restoran walhal ejaan yang betul ialah “telur dadar”. Hakikatnya, kata “telur” dan “telor” berbeza dari segi makna dan sebutannya.

Jika kita ingin merujuk benda bulat bujur yang biasanya berkulit keras dan berisi lembaga anak, maka perkataan itu ialah “telur”. Oleh itu, ejaan yang betul ialah “telur dadar” bukannya “telor dadar” kerana merujuk telur ayam yang diaduk sebelum digoreng.

Begitu juga halnya dengan ejaan bagi perkataan telur ayam, telur burung dan telur cicak. Berbeza pula halnya dengan “telor” yang bermaksud pelat, iaitu tidak dapat mengucapkan kata-kata dengan sebutan yang betul. Biasanya kanak-kanak yang masih belum boleh bercakap dengan fasih, mengalami masalah “telor”.

Di samping itu, sebutan bagi kata “telur” dan “telor” juga berbeza dari segi bunyi vokal “e” pada suku kata pertama. Kata “telur” disebut sebagai “telur” yang menggunakan vokal “e” pepet [e] seperti dalam perkataan emak, empat, tegas, tempat, dan teruk.

Berbeza pula halnya dengan kata “telor” yang menggunakan bunyi vokal “e” taling [Ə] seperti dalam perkataan ekor, ekonomi, teko, tembak, dan tempang.

Penggunaan kata “telur” dan “telor” yang betul dapat dilihat dalam contoh di bawah:

  1. Nasi putih dengan telur dadar merupakan menu ringkas yang digemari Rani.
  2. Telur ayam termasuk dalam kategori barangan harga terkawal bagi memastikan kestabilan harga dan bekalannya di pasaran.
  3. Ayah terhibur dengan gelagat adik yang rancak berbual walaupun masih telor
    .
  4. Basri tidak memahami perkara yang cuba disampaikan oleh budak lelaki yang telor itu.

Berdasarkan penerangan di atas, diharapkan kata “telur” dan “telor” digunakan dengan betul mengikut konteks.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir.

Published by
Penulis Jemputan