Mengecil Dari Enam Ke Tiga Ahli, OUTBREAK Setia Pertahankan Kumpulan

Share

Sejak dahulu lagi, apabila sesebuah grup nyanyian ditubuhkan, tentunya wujud stigma yang mengatakaan mana-mana grup pasti akan berpecah satu hari nanti. Ahli-ahlinya juga dipercayai akan membawa haluan sendiri sama ada dalam industri nyanyian mahupun di luar bidang seni.

Nama-nama grup vokal popular seperti Destiny’s Child, BLUE dan kumpulan dari Malaysia seperti KRU sendiri pada satu waktu mengambil keputusan untuk berpecah. Tidak hairanlah apabila stigma ‘setiap grup akan berpecah’ itu wujud hingga ke hari ini.

Cabaran yang seakan sama nampaknya dihadapi oleh grup tempatan, OUTBREAK yang telah ditubuhkan sejak tiga tahun lalu. Daripada dianggotai seramai enam orang, satu-persatu ahlinya memutuskan untuk keluar dari grup tersebut hinggalah ia kini dianggotai oleh tiga orang ahli saja.

Bercakap dengan Hakeem Zamall, Shakirin Shah dan Aliff Firdaus daripada OUTBREAK baru-baru ini, mereka akur dengan keputusan tiga ahli lama mereka. Sukar untuk kita mengawal kehendak seseorang bukan. Lalu, dengan kekuatan tiga ahlinya yang setia dan komited bergerak ke hadapan sebagai satu entiti, OUTBREAK meneruskan perjuangan dengan bakat serta potensi yang ada pada mereka.

“Kalau boleh tiada siapa yang nak benda macam ini (kehilangan ahli) berlaku. Kami memilih untuk ketepikan isu lama dan untuk terus berfikiran positif.

“Lagipun konsep grup trio ini jarang ada di Malaysia sekarang, yang banykannya adalah band dan group beranggota ramai. Lalu kami yakin dengan keistimewaan yang kami ada sekarang,” katanya yang bertarung dalam pertandingan Vokal Mania pada tahun lalu.

Tambah seorang lagi ahlinya iaitu Shakirin pula, penambah baikan yang berlaku pada OUTBREAK seperti dari segi paduan vokal dan chemistry yang terjalin di antara mereka juga dapat dirasai oleh peminat sejak mereka bergerak sebagai grup trio.

“Di OUTBREAK, kami tetap menyokong perjalanan karier tiga ahli lama kami. Mungkin misi kami berbeza daripada mereka, namun at the end of the day, kami masih berkawan. Sebagai pendatang baharu, adalah lebih baik untuk kita saling menyokong. Tidak rugi pun, lebih rugi jika berdendam,” ulasnya.

Bercakap mengenai perkembangan terbaru OUTBREAK yang kini semakin aktif di media sosial dengan content viral demi menangkap perhatian pendengar di Malaysia dan Indonesia, mereka baru saja muncul dengan sebuah single baharu berjudul Infiniti.

Dengan hanya memakan masa sebulan lebih sahaja untuk proses rakaman, Infiniti menceritakan tentang misi untuk berjaya. Tanpa mengenal erti penghujung, OUTBREAK mengajak pendengar untuk terus berusaha sehingga berjaya. Ia juga ‘kena’ dengan musim pandemik sekarang yang menyaksikan kes jangkitan harian semakin mencanak naik.

Di kala ada sesetengah daripada kita yang sudah penat untuk bertarung menentang wabak ini, OUTBREAK percaya pada satu hari nanti, bakal ada sinar yang akan menerangi di penghujung jalan.

“Ramai di antara kita yang berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Kadang ada impian yang belum tercapai dan mereka mula merasa ‘down’. Oleh itu, menerusi single Infiniti ini kami ingin sebarkan positiviti kepada semua. Have faith sewaktu kita jatuh tersembam.
Kejayaan pasti akan mendatang,

“Buat masa ini, kami masih menantikan waktu bersesuaian untuk merakamkan video muzik. Itu semua perlu dilupakan buat sementara waktu memandangkan kita masih dalam keadaan tersekat dek PKPD di Lembah Klang. Kami akan siapkannya satu hari nanti, jangan risau,” jelas Hakeem.

Bagi korang yang belum lagi mendengarkan Infiniti, klik pautan di bawah dan berikannya like ya!

Saingan BBNU

Dalam era bintang media sosial sekarang, lambakan selebriti baharu di Malaysia saja tidak dapat dinafikan lagi. Saban bulan, ada saja nama baru yang menjadi terkenal dalam sekelip mata. Oleh itu, bagaimana agaknya OUTBREAK sendiri ingin bersaing secara sihat dengan rakan-rakan sebaya mereka dalam industri di Malaysia yang jujurnya, kecil saja. Tanpa strategi berkesan, mana-mana selebriti boleh datang pergi bersilih ganti.

“Kami sedar akan semua itu. Selain strategi yang dipasang oleh pasukan label dan pemasaran OUTBREAK, kami mengikuti rapat trend serta jenis muzik yang berkesan pada zaman in demi memastikan kami kekal relevan.

“Yang penting kami tidak mudah berputus asa. Sewaktu saya menyertai Vokal Mania tahun lalu, kami bertuah kerana dapat bertemu dengan ramai artis senior seperti juri, kak Misha Omar, peserta Aina Abdul dan ramai lagi. Satu nasihat mereka yang kami pegang hingga ke hari ini adalah untuk tidak mudah mengalah. Adatlah, ada yang akan suka ada yang tidak. Fokus kami hanyalah pada mereka yang menyokong dan bukannya pada kecaman yang diterima,” sambung Hakeem.

Published by
FZ