Menteri Agama Pulih Dari COVID-19, Fokus Beri Bantuan Kepada Golongan Terjejas PKPB

Share

Alhamdulillah. Sebentar tadi di fb rasmi facebooknya, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri telah mewarkan berita gembira bahawa dirinya sudah bebas sepenuhnya dari COVID-19.

Akan berehat seketika di rumah kerana PKPB, bagaimana pun Menteri ini memaklumkan akan memfokuskan penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan Selangor.

Jelasnya, beliau buat masa ini, dirinya disarankan untuk tidak bertemu sesiapa. Justeru, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja. Katanya lagi, dirinya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab hanya dari rumah sahaja buat sementara ini. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosialnya.

Dalam perkongsian sebentar tadi, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri menulis, a alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan.

Saya telah dibenarkan untuk keluar dari wad pada petang ini kerana telah disahkan pulih sepenuhnya daripada COVID-19.

الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات

“Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan.”

Pun begitu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan saya untuk mengutamakan rehat di rumah sehingga selesai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Ahli-Ahli Jemaah Menteri, para ulama’ di seluruh dunia yang menghantar pesanan mesej kepada saya dan semua rakyat Malaysia yang mendoakan saya. Tidak lupa kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Buat masa ini, saya disarankan untuk tidak bertemu sesiapa. Justeru, sebarang pertemuan adalah melalui sidang video sahaja. Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah. Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya.

Fokus utama saya buat masa ini adalah penyaluran bantuan kepada kelompok sasar terutamanya di WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya dan Selangor. Ini kerana PKPB telah bermula dan bantuan-bantuan perlu disalurkan dengan sesegera mungkin.

Semoga Allah SWT melimpahkan kebaikan, keberkatan dan keharmonian kepada Malaysiaku yang tercinta. Moga perpaduan kita rakyat Malaysia terus terpelihara. Sentiasa ingat pepatah lama, “Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.”

Saya doakan semoga rakyat Malaysia yang menghidap COVID-19, segera sembuh dan dapat kembali meneruskan kehidupan bersama-sama keluarga tercinta.
Yang berkhidmat kerana-Nya

DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Published by
Almaswa Haji Che Ros