‘Menu Bajet’ Bakal Diperkenalkan Di Lebih 10,000 Restoran Mamak

Share

Secara umum, ‘nasi bajet atau menu bajet’ merujuk kepada hidangan lengkap dan dijual dengan harga murah. Biasanya, ia selalu dikaitkan dengan para pelajar di kampus.

ARTIKEL BERKAITAN : 7 Perangai Pengunjung Kedai Mamak Yang Selalu Kita Nampak Rupanya Salah Di Sisi Undang-Undang

Keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini juga banyak mendorong orang ramai memilih nasi bajet kerana ia jauh lebih menjimatkan.

Tapi jangan tak percaya, ada berita baik buat peminat makanan kedai ‘Mamak’. Ada satu menu bajet akan diperkenalkan di lebih 10,000 restoran mamak di seluruh negara. Hal ini bagi meringankan beban rakyat terutamanya golongan B40 di kawasan bandar yang berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

Foto Via Utusan Malaysia

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, inisiatif tersebut akan dibincangkan di antara pihaknya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh terdekat.

Setakat ini, harga menu berkenaan belum lagi dapat didedahkan, namun ianya dikatakan akan diselaraskan bersesuaian dengan jenis makanan dan tempoh waktu tertentu.

“Sajian pada harga mampu milik atau bajet itu akan selaras di semua restoran mamak sama ada pada waktu siang atau malam.

“Namun, ia mungkin bergantung kepada tempoh waktu tertentu dan harganya akan ditetapkan nanti selepas perbincangan dengan kementerian berkaitan,” katanya yang dipetik oleh wartawan Iskandar Shah Mohamed dari Utusan Malaysia.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga kelak akan dipantau sepenuhnya oleh kementerian bertanggungjawab bersama dengan pihaknya. Pihaknya menjangkakan menu bajet itu akan dilaksanakan pada awal tahun 2023.

Alhamdulillah, ada juga berita gembira di zaman semua barang mahal ini. Happy tak peminat ‘makanan mamak’?

Sumber: Utusan Malaysia

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


Published by
Nana