Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh di Thailand hari ini (Khamis, 6 Oktober) dalam insiden tembakan rambang yang melibatkan pekerja dan kanak-kanak di pusat jagaan kanak-kanak.
Suspek yang berusia 34 tahun dikenali sebagai Panya Khamrab merupakan bekas polis yang telah diberhentikan perkhidmatannya atas salah laku berkaitan dadah.
Menurut laporan, 22 daripada mangsa merupakan kanak-kanak. Kejadian malang itu terjadi pada waktu makan tengah hari sebelum suspek tiba-tiba muncul dan menembak. Salah seorang staf yang terbunuh merupakan ibu mengandung lapan bulan.
Jurucakap polis, Paisan Luesomboon memberitahu penyiar ThaiPBS, lelaki bersenjata itu telah berada di perbicaraan mahkamah berhubung kes dadah pada pagi Khamis dan telah pergi ke pusat jagaan untuk mencari anaknya, tetapi tiada di sana.
“Dia sudah tertekan dan apabila tidak menemui anaknya, dia menjadi lebih tertekan dan mula menembak,” ujarnya.
Dalam kenyataan yang diberikan, suspek kemudian memandu pulang dan membunuh isteri dan anaknya di sana sebelum membunuh dirinya sendiri.
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha yang terkejut dengan kejadian itu memberi ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Tertulis di laman Facebooknya, Prayuth mengarahkan semua agensi merawat mangsa yang cedera dengan segera.
“Saya telah mengarahkan ketua polis negara untuk turun ke kawasan itu bagi mempercepatkan proses undang-undang serta-merta, selain meminta semua pihak berkaitan membantu segera semua yang terjejas,” tulisnya lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Laporan China & Negara Eropah Dapati 3 Golongan Ini Paling Berisiko Tinggi Hadapi Kematian Jika Positif COVID-19
Wabak corona virus yang menyerang dunia seakan tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Setakat ini lebih 750,000 penduduk dunia sudah djangkiti dan kadar kematian juga mencatatkan angka bukan sedikit.
Pasti ramai orang yang sedang risau dengan pandemik Covid-19. Ini kerana virus ini merupakan suatu perkara baru dalam dunia perubatan, kita juga sedang mempelajari satu demi satu fakta baru tentang jangkitan ini dari hari ke hari. Setakat tempoh sehingga Mac 2020, kita dapat lihat kadar kematian sekitar 1% daripada semua kes yang dilaporkan.
Namun, peratusan ini mungkin lebih tinggi kerana terdapat beberapa negara yang tidak mempunyai kapasiti untuk menyaring kebanyakan kes yang sebenarnya dialami dalam sempadan mereka atas pelbagai faktor kekangan semasa.
Beberapa laporan dari China dan negara-negara Eropah telah dapat mengenal pasti beberapa kumpulan yang berisiko tinggi. Satu fakta yang boleh membuatkan ramai orang lega adalah sekitar 80% kes akan sembuh tanpa memerlukan rawatan yang kompleks dan ramai juga dalam kelompok ini yang tidak mengalami apa-apa gejala yang merbahaya.
Namun begitu, pesakit-pesakit tanpa gejala atau dengan gejala yang ringan mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi. Dengan lebih ramai orang yang dijangkiti, kita amat risau sekiranya bilangan ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh kapasiti servis kesihatan kita. Atas sebab itu, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga yang drastik untuk melindungi kumpulan yang berisiko tinggi.
Berikut adalah kumpulan berisiko yang harus kita semua cuba lindungi:
1) Golongan berumur
Hampir semua pemerhatian dari kadar kematian di pelbagai kawasan di China menunjukkan sesuatu yang konsisten. Kebanyakan kes kematian atau kes-kes yang lebih kritikal melibatkan kumpulan usia yang lebih tinggi. Pemerhatian awal di Wuhan yang membandingkan kes-kes yang dibenarkan discaj dan kes-kes kematian mendapati purata umur kes-kes kematian adalah 17 tahun lebih tua.
Negara Itali juga dikenali sebagai antara negara Eropah yang mempunyai kumpulan warga tua tertinggi di benua tersebut. Kebanyakan institusi kesihatan global bersetuju golongan berumur 65 tahun ke atas menghadapi risiko untuk kesan yang lebih serius mahupun kematian.
2) Sejarah penyakit kronik
Definasi penyakit kronik adalah penyakit jangka panjang yang memerlukan kawalan dan sukar/tidak dapat diubati. Secara lazimnya, kita mendengar tentang penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
Pemerhatian daripada Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) China yang menilai kesemua pesakit yang diuji positif dengan Covid-19 menunjukkan kesemua pesakit dengan sejarah penyakit-penyakit yang disebut di atas adalah lebih berisiko tinggi sekiranya menghidap Covid-19. Tambahan lagi, sejarah masalah kesihatan pernafasan (respiratori) dan juga barah (kanser) juga dilihat mempunyai lebih risiko sebagai kes kritikal/kematian.
Terdapat juga masalah kesihatan lain seperti penyakit autoimmune yang memerlukan rawatan dengan ubatan steroid/kawalan imuniti dan pesakit HIV (terutama yang belum mendapat rawatan anti-viral atau tidak patuh dengan ubatan) yang juga perlu berjaga-jaga.
3) Obesiti/sejarah merokok
Kaitan dengan dua faktor risiko di atas adalah kurang jelas. Kerana jumlah pesakit yang diuji positif adalah terlalu tinggi dan ramai antara mereka terlalu serius, data tentang sejarah merokok berdarkan kiraan pek/tahun dan data tepat BMI pesakit-pesakit ini amat sukar diperolehi. Kajian yang berbeza juga menggunakan definasi perokok yang berlainan berdasarkan kiraan pek/tahun menjadikan data ini sukar untuk diperhalusi untuk masa kini.
Namun begitu, pemerhatian awal di Itali dan China menunjukkan penglibatan kes kritikal dan kematian kaum lelaki melebihi kaum wanita dan orang dewasa berbanding kanak-kanak yang agak selari dengan populasi perokok di kedua-dua negara. Pemerhatian ini cukup untuk kita memberitahu para perokok yang mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi. Begitu juga dengan kadar obesity dan kebrangkalian populasi ini untuk memiliki masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.
JADI APA YANG KITA PERLU LAKUKAN?
1) Lindungi warga tua, samada ahli keluarga ataupun dalam kejiranan kita. Kurangkan keperluan untuk mereka keluar buat masa ini dan kita bantu mereka dapatkan bahan keperluan mereka. Dalam masa yang sama memastikan jarak sosial dan nasihat kebersihan tangan sekiranya berinteraksi dengan mereka.
2) Ramai orang muda kita alpa dengan kepentingan saringan kesihatan. Tahun demi tahun, kita melihat umur pesakit yang diberi diagnosis kencing manis dan tekanan darah tinggi beransur semakin muda kerana pilihan gaya hidup yang tidak sihat.
Diet yang tidak seimbang dan kekurangan aktiviti fizikal hanyalah sebahagian daripada masalah yang menyumbang kepada pemerhatian ini. Tambah teruk, ini adalah golongan yang tidak tahu tentang risiko mereka sendiri. Gunakan masa anda di rumah untuk menyusun semula diet yang lebih seimbang dan cuba lakukan aktiviti fizikal sedikit demi sedikit untuk kembali ke berat badan ideal. Selepas reda wabak ini, cari masa untuk lakukan saringan kesihatan anda.
3) Berhenti merokok. Kalau anda ada masa untuk bimbang yang virus ini adalah teori konspirasi sesuatu negara, bukankah rokok itu teori konspirasi lebih besar yang menyumbang kepada masalah jantung, angin ahmar, pelbagai jenis barah, masalah pernafasan dan sekarang kita tambah lagi golongan berisiko untuk apa-apa jangkitan kuman? Tiada kebaikan yang dating daripada merokok.
4) Juga yang lebih penting, ikut nasihat pihak berkuasa untuk mengurangkan risiko jangkitan dan cuba untuk memutuskan rantaian jangkitan di negara kita. Kebersihan tangan, etika batuk dan penjarakan social adalah nasihat yang sangat penting dan semua ini hanya akan berjaya sekiranya setiap antara kita memainkan peranan masing-masing.
Semoga dengan keprihatinan pihak berkuasa dan peranan anda semua menjalankan tanggungjawab anda, kita dapat mengatasi wabak Covid-19 yang sedang melanda ini.
#inisainsbeb #DrSid
Ilustrasi: #azarimy
Rujukan:
1. Wu Z, McGoogan JM. Characteristics of and important lessons from the coronavirus disease 2019 (COVID-19) outbreak in China: summary of a report of 72314 cases from the Chinese Center for Disease Control and Prevention.
JAMA2020. doi:10.1001/jama.2020.2648 pmid:32091533
- Zhou F, Yu T, Du R, et al. Clinical course and risk factors for mortality of adult inpatients with COVID-19 in Wuhan, China: a retrospective cohort study.
Lancet2020. doi:10.1016/S0140-6736(20)30566-3 pmid:32171076 - Livingston E, Bucher K. Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) in Italy.
JAMA2020. doi:10.1001/jama.2020.4344. pmid:32181795 - Jordan Rachel E, Adab Peymane, Cheng K K. Covid-19: risk factors for severe disease and death BMJ 2020; 368 :m1198
Sumber : Ini Sains Beb
Gara-gara Guna Bomoh Pikat Perempuan, Akhirnya Mati Diganggu Langsuir
Taufik sering memerhatikan Marina, gadis paling cantik di kampung mereka. Setiap kali Marina lalu, dia yang sedang bermain dam di warung Pak Kamil sanggup berhenti seketika.
Dia akan bersungguh memerhatikan anak dara Pak Semail itu sehingga pandangannya menjauh. Dia sudah lama mahu mencuri hati Marina tetapi dia sedar dirinya selalu dihina.
Budak kampung tak ada kerja, pemalas, kaki cari gaduh dan macam-macam lagi dakwaan padanya. Nak nafikan tak boleh kerana dia memang begitu. Dia sememangnya terkenal sebagai budak kampung yang berperangai samseng.
Tapi dengan Marina dia cuba mengawal tingkah lakunya. Dia memang mahu bercinta dengan gadis cantik itu. Di kampungnya, Kampung Gajah, sesiapa yang berjaya mencuri hati Marina adalah lelaki paling bertuah. Sebab itu dia sanggup bergaduh dengan mana-mana lelaki yang cuba-cuba untuk mendekati Marina hingga perbuatannya itu dibenci kedua ibu bapa Marina.
Suatu hari, dia terserempak dengan Marina yang mahu ke pekan. Dari belakang dia memecut motosikalnya.
“Marina, nak ke mana. Kalau nak saya boleh hantarkan,” katanya berbasa basi.
Tapi bukan saja pertanyaannya ditolak tetapi entah angin apa pada Marina, dia cuba meludah lelaki berkenaan tanya sedar perbuatannya terlalu menghina kepada Taufik.
Selepas Marina berlalu, tanpa sedar Taufik mengambil air liur Marina dan kemudian menuju ke rumah Bomoh Hitam di hujung kampung.
“Tok, tok, nanti buatkan Marina tergila-gila pada aku. Biar dia dengan keluarganya sembah kaki aku nie,” katanya yang penuh dengan sikap amarah dan penuh kebencian kepada gadis yang cuba menghinanya.
Ternyata dari air liur sahaja, Marina sudah terkena ubat guna-guna yang dilakukan oleh Bomoh Hitam. Sejak kejadian itu, bila ditegur oleh Taufik dia melayan saja. Tahulah Taufik yang perangkapnya sudah mengena dan mereka bagai tak boleh dipisahkan lagi.
Suatu hari, seorang anak saudara Pak Semail datang ke kampung. Ustaz Aliff. Dia lulusan Mesir dan pulang ke kampung untuk mengunjungi bapa saudaranya yang sudah lama tidak dijenguk. Malam itu dia bermalam di rumah Pak Semail. Semasa dikenalkan dengan Marina, Aliff dapat menangkap ada yang tidak kena pada sepupunya itu.
Dia bertanya sedikit soalan pada Pak Semail dan orang tua itu sendiri pelik kenapa anaknya iya-iya bercinta dengan Taufik, pemuda samseng yang langsung tak disenangi penduduk kampung.
Kata Taufik dia akan cuba tengokkan Marina melalui solat hajatnya malam ini. Esoknya dia berkata kepada bapa saudaranya yang anak mereka sudah disihirkan dan dia akan cuba mengubatnya.
Senja itu walau memberontak, Marina duduk dihadapan UstaZ Aliff. Matanya merah seakan marah. Saat ayat-ayat rukyah dibacakan, Marina mula meraung sebelum mencakar mukanya sendiri. Lebih kurang 15 minit berkeadaan begitu, dia terus pengsan. Sedar-sedar dia bertanya di mana. Masa yang sama, Taufik tercegat di depan pintu rumah Pak Semail seolah-olah ingin lihat apa berlaku tapi dia tidak masuk ke dalam.
Tiga hari juga dia gelisah kerana gagal bertemu Marina yang enggan bertemunya. Sehinggalah suatu hari dia mendapat peluang itu ketika Marina ke sungai berdekatan rumahnya.
Dalam pergaduhan itu berlaku tolak menolak sehingga kepala Marina terhantuk batu dan mati di situ juga. Panik dengan hal itu, Taufik bertindak menyembunyikan mayat Marina dalam hutan berhampiran. Kecoh Marina hilang dan masa yang sama, pencarian diteruskan.
Malam itu, selepas tiga hari dia menyembunyikan mayat Marina, Taufik didatangi satu lembaga putih yang terlalu menyeramkan. Lembaga itu seakan mahu mencekiknya dan apa yang benar-benar menakutkannya ialah lembaga putih dipercayai langsuir itu adalah Marina yang dibunuhnya.
Hidup Taufik sentiasa dalam ketakutan. Di setiap sudut pandangan sudut rumahnya hanya wajah Marina yang penuh menggerunkan kelihatan.
“Tolong..jangan ganggu aku, jerit Taufik yang ketakutan. Perlakuannya sudah seperti orang gila. Ramai yang mengaitkan dirinya dengan kejadian Marina hilang. Mukanya sudah tidak terurus. Namun tiada bukti.
Suatu malam, dia keluar dari rumahnya konon untuk mendapatkan pertolongan dari Bomoh Hitam. Ternyata malam itu malam menggerikan kerana dia terlanggar pokok selepas terdengar suara hilaian yang sangat menakutkan dipercayai mayat Marina. Dia mati ditempat kejadian manakala mayat Marina tidak ditemui sehingga kini. Sejak itu, penduduk Kampung Gajah amat takut lalu di bawah pokok besar itu kerana sering ternampak langsuir.
Saksikan Suri Ram episod 9 dengan kisah Langsuir di Maya Hd dan Astro Prima jam 11 malam ini.
Pelajar Tingkatan 3 Jadi Wali Nikahkan Kakak, Arwah Ayah Meninggal Akibat Kanser Ketika Usianya Setahun
Memikul tanggungjawab menjadi wali sebagai pengganti arwah ayah yang meninggal pada usianya setahun bukanlah semudah disangka. Tidak ramai remaja berani melakukannya tapi Ismaildaniel Ibrahim, pelajar tingkatan tiga lega dapat memikul amanah ini ketika majlis pernikahan kakak keduanya, Noriffa Akasha, 21 tahun.
Dalam laporan Harian Metro semalam, Ismaildaniel turut berkongsi perasaan leganya selepas majlis berjalan lancar.
“ALLAH SWT beri saya ketenangan dan Alhamdullilah, saya berjaya menikahkan kakak,” kata Ismaildaniel Ibrahim, 15, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Pasir, Dungun, semalam.
Ismaildaniel yang juga anak bongsu daripada empat beradik berjaya menikahkan kakak keduanya, Noriffa Akasha, 21, bersama pasangannya, Ahmad Asyaf Syafik Ahmad Shamsuddin, 27, kira-kira 9 malam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah itu berkata, dia berlatih beberapa kali sebelum berjaya menyempurnakan majlis berkenaan.
“Ketika perkahwinan kakak sulung, Norintan Azlin, 24, dua tahun lalu, saya tidak berani berbuat demikian kerana merasakan saya masih kanak-kanak.
“Sebelum ini, ibu, Salmiah Ali, 43, meminta saya berbuat demikian tetapi saya tidak yakin tetapi kali ini, sudah sampai masanya saya menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan arwah ayah, Ibrahim@Nordin Muhamad Ali yang meninggal dunia akibat kanser ketika saya berusia setahun.
“Sebagai anak tunggal lelaki, ini tanggungjawab saya apatah lagi ibu sentiasa berpesan arwah ayah mahu saya mengambil alih tanggungjawab itu. Pada mulanya, saya rasa gementar kerana bimbang akad saya itu tidak menjadi namun Alhamdulillah, semua berjalan lancar,” katanya.
Sementara itu, Salmiah berkata, dia kagum dengan kematangan anaknya untuk menjadi wali serta menyempurnakan majlis nikah kakak kandungnya itu.
“Dia menjadi wali untuk perkahwinan kakak sulungnya dua tahun lalu tetapi dia enggan menikahkan kakaknya ketika itu kerana dia masih kecil.
“Pada mulanya, kami merancang mahu wakilkan kepada jurunikah namun Ismaildaniel minta izin untuk melafazkan akad sambil disaksikan jurunikah.
“Sebagai ibu, saya bangga apatah lagi tetamu yang hadir melahirkan perasaan kagum dengan kebolehan Ismaildaniel yang berjaya melakukannya dengan baik,” katanya.
Sumber / gambar :- Harian Metro, Zulkarnain Zakaria