Setiap bulan, pastinya akan ada seorang pelakon baharu yang menjadi bualan penonton di platform penstriman Netflix.
Sebagai platform hiburan yang memberikan peluang kepada kepelbagaian karya dari banyak negara, lebih ramai pelakon yang dapat menonjolkan bakat kepada – well – penonton antarabangsa menerusi Netflix.
Bulan September juga tiada beza dengan bulan-bulan lain apabila seorang pelakon baharu kini hangat diperkatakan. Ia tidak lain tidak bukan ialah Jung Ho-yeon yang kini tampil dalam sebuah K-drama lain daripada yang lain berjudul Squid Game.
ARTIKEL BERKAITAN : 8 Lagi Drama Korea Baharu Bakal Ditayangkan Sepanjang September Ini – REMAJA
Squid Game secara ringkas mengisahkan mengenai para peserta sebuah pertandingan kanak-kanak biasa di Korea yang diputar belitkan menjadi sebuah pertandingan ganas yang boleh mengancam nyawa. Umpannya? Hadiah wang tunai lumayan.
Menariknya, Squid Game merupakan naskah lakonan pertama Ho-yeon dalam hidupnya. Sebelum ini dia bergelar model sepenuh masa setelah tampil dalam program realiti Korea’s Next Top Model musim keempat.
Ho-yeon berjaya mencuri tumpuan masyarakat di Korea Selatan setelah berjaya menempatkan diri sebagai naib juara. Sejak itu, dia telah melebarkan sayap sebagai fashion darling antarabangsa dan diberikan peluang untuk terlibat dalam begitu banyak pertunjukan fesyen serta penggambaran kempen fesyen.
Antaranya termasuklah menjadi muse kepada jenama Chanel dan Louis Vuitton!
Tapi sebagai seorang pelakon? Ho-yeon boleh dikategorikan sebagai seseorang yang baru ingin mengenali dunia lakonan.
Harus diingat, dunia lakonan sama sekali tidak sama dengan karier sebagai seorang model. Seorang pelakon yang dipilih untuk membintangi drama original Netflix perlu memiliki karisma, bakat, emosi naik turun dan personaliti untuk menyinar. Bukan calang-calang orang terpilih menjadi pelakon menerusi karya asal platform penstriman popular ini.
Ho-yeon yang ketika itu berada di New York untuk minggu fesyen di sana mendapat panggilan daripada agensinya yang meminta agar dia merakamkan video uji bakat. Permintaan ini hadir setelah pengarah Squid Game, Hwang Dong-hyuk tertarik dengan aura serta rupanya yang dirasakan ‘masuk’ dengan karakter Kang Seo-byeok.
Ho-yeon mendapat panggilan semula dan pengarah Squid Game itu ingin bertemu dengannya bagi projek ini. Dia terus pulang ke Korea untuk menandatangani kontrak lakonan sebaik tamat Minggu Fesyen New York.
Ho-yeon mengambil cabaran berlakon buat KALI PERTAMA dan ia membuahkan hasil. Lakonannya sebagai Kang Seo-byeok membuatkan ramai penonton Squid Game jatuh cinta dengannya.
Kang Sae-byeok merupakan seorang pembelot kepada negara Korea Utara, dia sudah terbiasa dengan hidup dalam kesengsaraan. Korang pun tahu bagaimana sukarnya masyarakat di Korea Utara berdepan dengan kehidupan di sana terutamanya apabila minda mereka dihalang daripada menerima informasi baharu dari dunia luar. Heck, mereka tidak dibenarkan meloloskan diri dari sempadan negara.
Oleh itu, menerusi Squid Game, kita akan dapat melihat Sae-byeok menggunakan skil untuk teruskan hidup dan bernyawa lalu cuba memenangi perlawanan ini.
Korang perlu menonton Squid Game bagi memahami mengapa REMAJA kini obses dengan Ho-yeon.
Tidak syak lagi, dia bakal menjadi permata baharu dunia lakonan Korea dan mengikut jejak langkah beberapa pelakon wanita Korea lain yang telah memecah tempoh antarabangsa seperti Bae Doona (Kingdom, Cloud Atlas), Jun Ji-hyun (Blood: The Last Vampire) dan Claudia Kim (Fantastic Beasts, Avengers: Age of Ultron)