Terbaru, pelakon Zahirah Macwilson menerima nasihat secara umum daripada Public Health Malaysia susulan sanggup menghisap rokok demi menjayakan watak dalam sebuah drama bersiri.
Media sosial Public Health Malaysia yang kerap berkongsi mengenai perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam seperti pencegahan, perlindungan dan promosi kesihatan itu turut membandingkan budaya kerja penerbitan drama dan filem di Korea Selatan.
“Kejayaan industri K-Drama di Korea Selatan adalah fenomena budaya dan ekonomi yang hebat, ia didorong oleh produksi yang berkualiti, lakonan yang berkesan serta menggunakan tema universal yang menarik untuk tontonan seisi keluarga”
“Apa yang menarik, produksi Korea sudah mengharamkan sama sekali adegan merokok dalam drama. Ini membuktikan, untuk menghasilkan satu hasil produksi yang hebat dan lakonan yang berimpak tinggi, tidak perlu menggunakan asap rokok pun”
“Agak menyedihkan situasi di Malaysia, apabila pelakon Zahirah Macwilson perlu melakonkan watak seorang wanita yang merokok, walaupun beliau sendiri bukan perokok dan membenci tabiat itu”
Tambahnya, “kepada semua pelakon dan penggiat seni, teguhkan prinsip dalam kerjaya dengan meletakkan garis-garis sempadan dalam hasil kerja anda.”
Perkongsian yang disertakan gambar itu tegas sekaligus mengingatkan anak seni tempatan supaya mengelak daripada melakukan promosi produk atau tabiat merokok kepada masyarakat.
Sebelum ini, penerbit drama Datuk Saniboey Mohd Ismail membuat ciapan di aplikasi X yang memuji kesungguhan Zahirah Macwilson dalam menjayakan wataknya sebagai wartawan jenayah.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.