Penghuni bangunan Mid Valley Megamall, hotel berhampiran dan kawasan pejabat di sekitarnya semalam telah dikejutkan dengan kebakaran Pencawang Masuk Utama (PMU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di luar pusat membeli-belah itu kira-kira pada jam 10 pagi.
Susulan insiden video kebakaran berskala mega dengan kepulan asap hitam tebal di luar Mid Valley yang kini telah dikongsikan berulang kali di pelbagai platform media sosial, bekalan eletrik telah terganggu dari jam 10.51 pagi. Bekalan terputus itu bagaimanapun telah berjaya dikembalikan sekitar jam 12.30 tengah hari semalam.
Tentunya, insiden tersebut telah mendatangkan rasa takut dan mungkin juga trauma dalam kalangan penghuni kompleks membeli belah berkenaan.
Namun, kehidupan bekerja tetap perlu diteruskan dan Mid Valley telah mula beroperasi semula pada hari Khamis.
Kata pengurusan premis itu, semua pejabat, hotel dan kedai yang terletak dalam bangunan itu akan beroperasi seperti biasa selepas ia menerima kebenaran daripada pihak TNB.
Dalam pada itu, pengurusan premis mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa tempatan termasuklah Bomba dan Penyelamat Malaysia, TNB dan Polis Diraja Malaysia atas tindakan dan kerjasama pantas yang diberikan.
BACA LAGI: Ramai Tak Faham Tentang Extension Plug Socket, Litar Pintas Punca Berlakunya Kebakaran – REMAJA
Sumber Foto: Awani