Setelah pertandingan Miss Universe 2020 terpaksa ditundakan hingga ke tahun ini akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, akhirnya seorang juara telahpun dinobatkan pada pagi hari ini oleh pemenang terdahulu, Zozibini Tunzi dari Afrika Selatan.
Berlangsung penuh meriah di Seminole Hard Rock Hotel & Casino, Hollywood Floride di Amerika Syarikat, Andrea Meza dari Mexico mengejutkan ramai penonton yang menyaksikan siaran pentas akhir itu secara langsung di televisyen mahupun secara atas talian.
Gadis yang berasal dari kota Chihuahua itu mengenepikan 73 wakil negara lain termasuklah wakil Miss Universe Malaysia, Francisca Luhong James bagi mengembalikan gelaran Miss Universe kepada benua Amerika Selatan.
Kali terakhirnya seorang wakil ‘latina’ memenanginya adalah pada tahun 2014 menerusi wakil Columbia, Paulina Vega.
4 jelitawan lain yang memenuhi senarai 5 terbaik pada edisi ke 69 ini termasuklah naib juara Julia Gama (Brazil), Janick Maceta del Castillo (Peru), Adline Castelino (India) dan Kimberly Jimenez (Dominican Republic).
Ini sekaligus menjadikan India sebagai satu-satunya negara dari Asia yang berjaya memasuki ke pusingan Top 5.
ARTIKEL BERKAITAN : Corat Coret! 7 Fakta Menarik Miss Universe 2020 – REMAJA
Dalam sesi pengenalannya, Andrea berkongsi mengenai tugasnya bersama Jabatan Pelancongan di Chihuahua dan dia juga merupakan duta rasmi bagi menggalakkan industri pelancongan di sana.
Selain itu, Andrea juga aktif sebagai seorang duta Hak Asasi Wanita di Mexico kerana dia percaya, gadis remaja di luar sana perlu berani untuk mempertahankan hak mereka.
Andrea berjaya mengharungi segmen-segmen yang disediakan oleh pihak Miss Universe untuk tiba ke pusingan Top 5 seperti pusingan pakaian mandi dan gaun. Namun setibanya di pusingan Q&A (soal jawab), ramai merasakan Andrea bukanlah wakil yang berjaya memberikan jawapan terbaik berbanding beberapa wakil lain.
Bagi sesi Q&A ini, Andrea menerima soalan dari Miss Universe 1997 iaitu Brook Lee dari Amerika Syarikat.
Sekiranya anda adalah pemimpin negara anda, bagaimanakah cara anda tangani pandemik COVID-19?
“Saya percaya tiada satu cara sempurna untuk menangani situasi seperti COVID-19. Bagaimanapun, saya akan meletakkan arahan ‘lockdown’ sebelum wabak ini merebak lebih meluas. Ini kerana kita telah kehilangan terlalu banyak nyawa dan kita perlu menjaga keselamatan mereka sejak peringkat awal.”
Pada pusingan yang meminta wakil memberikan pandangan mereka terhadap satu topik, Andrea telah memilih topik ‘Menukar Standard Kecantikan’. Ini adalah kenyataannya:
“Apabila kita hidup dalam masyarakat yang semakin maju, kita juga semakin meninggalkan stereotaip. Pada zaman ini, kecantikan bukan saja terletak pada rupa luaran kita. Untuk saya, kecantikan bukan saja terserlah dari semangat diri kita tetapi juga dalam jiwa kita. Jangan sesekali membenarkan sesiapa memberitahu diri kamu tidak bernilai.”
Lalu, ramai merasakan wakil lain seperti Peru lebih layak untuk dimahkotakan sebagai Miss Universe 2020 berdasarkan jawapan yang diberi. Hhm..
Apapun, Andrea telah bersedia untuk memikul tanggungjawab yang diserahkan oleh Zozibini Tunzi dan besar harapan peminat dunia ratu cantik untuk melihat Andrea menyampaikan mesej hak asasi wanita dengan lebih menyeluruh kepada seluruh dunia.
BACA LAGI : 4 Kostum Nasional Di Miss Universe 2020 Suarakan Isu Panas! – REMAJA