Seni & Budaya

Michelle Yeoh Bakal Terima Penghormatan Tertinggi Dari Joe Biden

Share

Tan Sri Michelle Yeoh, seorang aktres terkenal dari Ipoh, Perak, telah mencatat sejarah gemilang tahun lalu dengan merangkul kemenangan di anugerah Oscar dan Golden Globes.

Beliau mengekalkan momentum apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Crystal oleh Forum Ekonomi Dunia pada Januari yang lalu, dan juga bakal menerima bintang di Hollywood Walk Of Fame tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Michelle Yeoh Menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards Ke 95

Terbaru, Michelle bakal dianugerahkan Pingat Kebebasan Presiden oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden. Acara penting ini dijadualkan berlangsung di White House pada 3 Mei nanti.

Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu yang telah memberikan sumbangan yang luar biasa dalam memajukan kepentingan negara, menjaga keamanan global, memperkaya kebudayaan, serta dalam sektor awam dan swasta.

Antara penerima-penerima terdahulu termasuklah Mother Teresa, John F Kennedy, Bill Clinton, Stephen Hawking, Steven Spielberg, Oprah Winfrey, dan Steve Jobs. Selain itu, turut dikenang adalah Audrey Hepburn, Henry Kissinger, Dr Martin Luther King Jr, Neil Armstrong, dan Tiger Woods.

KEJAYAAN TAN SRI MICHELLE YEOH DI PERINGKAT GLOBAL

Sejak menceburi industri hiburan lebih tiga dekad lalu, aktres berusia 62 tahun ini telah melakar banyak kejayaan di persada antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

Michelle mula dikenali selepas memenangi pertandingan Miss Malaysia World pada 1983 sewaktu berusia 20 tahun. Dia kemudiannya mewakili Malaysia ke pertandingan Miss World di London dan memenangi Miss International Tourism Quest di Australia pada tahun sama.

Kemenangan ini membuka peluang besar dalam industri hiburan apabila beliau dipilih untuk membintangi iklan televisyen bersama Jackie Chan, yang kemudian menarik perhatian syarikat produksi Hong Kong, D&B Films.

Pada awal kemunculannya dalam bidang lakonan, beliau dikenali sebagai Michelle Khan. Dia diberikan peluang untuk memegang watak utama dalam filem ketiganya, ‘Yes, Madam’ pada tahun 1985. Sejak itu, beliau telah berjaya membintangi lebih dari 60 filem, termasuk ‘Tomorrow Never Dies’, ‘Memoirs Of A Geisha’, ‘Mummy 3’, ‘The Lady’, dan ‘Everything Everywhere All At Once’.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana