Anak kelahiran Malaysia yang sudah menempa nama di Hollywood, Datuk Seri Michelle Yeoh menjadi selebriti pertama di Asia yang menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam anugerah berprestij, Anugerah Golden Globe.
ARTIKEL BERKAITAN : Bukan Calang-Calang! Majalah Antarabangsa Time Nobat Michelle Yeoh Ikon 2022
Menurut laporan AFP, wanita berusia 60 tahun itu merangkul gelaran tersebut bagi kategori Muzikal/Komedi menerusi filem Everything Everywhere All At Once.
Michelle Yeoh telah dicalonkan bersama empat pelakon terkenal lain. Malah, beliau berjaya mengetepikan Lesley Manville untuk lakonannya dalam filem Mrs. Harris Goes to Paris, Margot Robbie di Babylon, Anya Taylor-Joy dalam The Menu, dan Emma Thompson dalam Good Luck to You, Leo Grande.
Ini merupakan pencalonan pertama Michelle Yeoh di Anugerah Golden Globe dan juga kemenangan pertamanya. Melangkah ke pentas, aktres itu mengaku tidak percaya usahanya akhirnya membuahkan hasil. Malah dia menjadi pelakon pertama Cina-Malaysia yang berjaya membawa pulang trofi itu.
“Terima kasih kerana memberi saya anugerah ini. Saya telah melalui perjalanan yang luar biasa, perjuangan yang luar biasa untuk sampai ke sini. Pada awal kerjaya saya di Hollywood, saya merasakan ini adalah impian yang menjadi kenyataan,” kata Michelle Yeoh.
“Sehingga saya akhirnya sampai di sini. Orang kata, oh awak boleh berbahasa Inggeris. Lupakan tentang bagaimana mereka tidak dapat membezakan antara Korea, Jepun, Asia, India. Dan melalui pertemuan itu saya telah belajar,” sambungnya, yang menjadikan penonton ketawa.
Rata-rata netizen dan peminat Michelle Yeoh mengucapkan tahniah kepada anak seni berbakat besar ini.
Tahniah buat Michelle Yeoh, moga ramai lagi anak Malaysia yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.
Sumber: AFP & Golden Globe via Twitter
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.