Bagai mimpi jadi kenyataan, penyanyi dan pelakon sensasi, Kilafairy baru-baru ini meluahkan rasa teruja apabila bakal berkongsi pentas dengan ikon muzik Bollywood terkenal, Udit Narayan.
Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisha Jangir Khan (32) berkata, dia juga berbangga selepas dipilih oleh penganjur, VVST Digital Creation untuk berkongsi satu pentas bersama penyanyi legenda dalam Konsert ‘Udit Narayan In KL’ di Mega Star Arena, Kuala Lumpur yang bakal diadakan pada 28 Disember ini.
Disebabkan dirinya mempunyai kredibiliti sebagai penyanyi yang fasih menyanyikan lagu Bollywood, Kilafairy turut menyifatkan peluang keemasan yang diberikan kepadanya umpama mimpi menjadi kenyataan.
“Udit Narayan merupakan seorang figura sangat istimewa. Saya meminati beliau kerana peminat tegar Shah Rukh Khan. Kebanyakan lagu yang didendangkan pelakon terkenal Bollywood itu dalam filem menggunakan vokal Udit”
“Jadi apabila dilamar untuk terbabit dengan Konsert Udit Narayan In KL. Saya terkejut, tidak percaya, gemuruh dan takut bila dilamar kerana saya bakal berkongsi pentas dengan ikon Bollywood terkenal,” katanya.
“Saya juga bangga kerana ini pembabitan pertama dalam konsert Bollywood berskala besar, apatah lagi membabitkan Udit Narayan. Ia seperti bermimpi,” jelas Kilafairy.
Dalam pada itu, Kilafairy yang kini giat menjalani latihan vokal memberitahu akan membawakan sebuah lagu solo dan dua buah lagu duet bersama penyanyi Syamel.
“Saya akan menyanyikan sebuah lagu solo dan berduet dua buah lagu dengan Syamel pada malam konsert itu,” tambahnya.
“Sekarang saya giat menjalani latihan vokal serta mendalami lenggok nyanyian Hindustan kerana penghayatan daripada segi lenggok Bollywood sangat berbeza dengan Melayu. Ia penting malah lagu Tamil dan Hindi juga punya lenggok berbeza,” jelasnya lagi.
Menaruh harapan agar konsert Udit Narayan In KL berjalan lancar, Kilafairy juga mendedahkan akan tampil dengan kostum bertemakan Bollywood.
Sementara itu, konsert Udit Narayan In KL akan menjadi saksi ikon legenda muzik Bollywood yang terkenal dengan gelaran Raja Melodi dan memiliki lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang tiga dekad berkarier kembali ke Malaysia selepas 12 tahun.
Sehubungan itu, pembatalan konsert Udit Narayan di Pulau Pinang baru-baru ini tidak berkaitan dengan penganjur konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur, iaitu VVST Digital Creation. Pihak penganjur juga memberi jaminan bahawa konsert Udit Narayan di Kuala Lumpur akan berlangsung seperti yang dijanjikan tanpa sebarang masalah.
Sumber: Astro Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.