Makin ramai pelajar Malaysia yang berjaya dalam peperiksaan berperingkat antarabangsa.
Seorang remaja berasal dari Terengganu membuktikan seorang hafizah 30 juzuk al-Quran juga mampu memilih kerjaya profesional lain seperti doktor, peguam, jurutera mahupun akuantan.
ARTIKEL BERKAITAN : Miliki Sanad Tahfiz 30 Juzuk Al-Quran, Iman Mohd Asri Layak Mengajar Tahfiz Serata Dunia
Tekad dan usaha bersungguh-sungguh gadis ini membolehkan dia meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) biarpun mengambil cabang pengajian yang berbeza sebelum ini.
Safwa Zamri, 19 yang bergelar hafizah ketika berusia 14 tahun meraih markah tertinggi dalam kertas peperiksaan Recording Financial Transactions (FA1), sesi Mac 2023 sekali gus melayakkannya mendapat markah tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi dunia dalam peperiksaan itu.
Minat Subjek Matematik
Anak bongsu dari lima beradik itu menerima Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) Prize dengan mendapat keputusan cemerlang 98 peratus. Safwa yang merupakan pelajar semester kedua (program Asasi) Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu di kampus Dungun itu berkata, dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan kerana minat terhadap subjek matematik.
Ditanya mengenai rekod terbaharu yang dicapai, Safwa memberitahu, dia sendiri tidak menyangka akan memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek itu kerana baru mempelajarinya dalam tempoh enam bulan.
Sebelum ini bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut itu mengambil Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab (SUUA) iaitu penggabungan Kurikulum Kebangsaan aliran tahfiz sains dalam Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kitab turath untuk murid tahfiz terpilih pada peringkat menengah atas. Safwa yang mengambil jurusan sains tulen dan agama mendapat 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.