Bagi peminat animasi ‘Minions’, filem sekuel siri ini sudah pun ditayangkan di pawagam dengan judul Minions: The Rise Of Gru. Dibesarkan pada tahun 1970-an, Gru merupakan peminat kumpulan penjahat Vicious 6 yang diketuai oleh legenda Wild Knuckles.
Apabila kumpulan itu menyingkirkan ketua mereka, Gru menyimpan cita-cita untuk menjadi penjahat dan menyertai kumpulan mereka. Dibantu oleh pengikutnya, Kevin, Stuart, Bob dan Otto, Gru berjaya membina sarang penjahat pertama mereka.
Malangnya, Gru tidak berjaya menarik perhatian Vicious 6 sewaktu temu duga mencari penjahat baharu dan sebaliknya kanak-kanak itu telah menjadi musuh kumpulan itu. Gru kemudiannya menyedari penjahat juga memerlukan bantuan daripada rakannya dan tidak mempunyai pilihan untuk beralih kepada sekutu yg lain, Wild Knuckles.
Secara keseluruhannya, jalan cerita filem ini agak ringan dan sepertinya memang dijadikan sasaran untuk menarik perhatian kanak-kanak untuk ke pawagam. Unsur komedi yang diselitkan menghiburkan, lebih-lebih dengan kemunculan watak Otto.
Kemunculan anak kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh yang memegang watak sebagai Kung Fu Master Chow turut menjadi perhatian. Dialog-dialog spontan Minions juga berjaya mencuit hati lebih-lebih lagi ada perkataan bahasa Melayu yang disebut seperti ‘Terima Kasih’.
Walaupun hanya berdurasi selama 1 jam 30 minit, tetapi apa yang kami boleh katakan ia sesuai dengan jalan cerita yang ringkas tetapi tetap menghiburkan. Pendek kata, memang berbaloi untuk ditonton di pawagam lebih-lebih lagi bersama kanak-kanak.
Minions: The Rise of Gru telah mendapat kutipan sebanyak AS$127.9 juta di dalam negara selepas empat hari tayangan dan dianggarkan akan menerima kutipan global lebih daripada AS$200 juta.
Bagi yang belum menonton, korang boleh menonton Minions: The Rise of Gru yang kini sedang ditayangkan di seluruh pawagam tanah air.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.