Nasib setiap orang tidak sama. Ada dilahirkan dalam keluarga yang sempurna, malah ada pula yang kurang bernasib baik.
Tidak semua pelajar bernasib baik dapat persiapan serba baru menjelang pembukaan penggal persekolahan yang bakal menjelang minggu hadapan.
ARTIKEL BERKAITAN : “Ibu Tak Ada Duit Nak Beli” Ditanya Kenapa Tak Beli Kasut Baru, Jawapan Pelajar ini Undang Rasa Sebak Netizen
Baru-baru ini, tular tindakan seorang remaja lelaki membuat keputusan untuk menghantar seluar sekolahnya yang telah lusuh kepada tukang jahit mengundang sebak netizen.
Alasannya mudah sahaja, remaja berkenaan sebenarnya tidak tergamak untuk menyusahkan ibu bapanya. Katanya, seluar itu masih boleh dipakai walaupun telah lusuh, cuma perlu dilabuhkan sedikit agar dapat menutup kakinya yang kian memanjang.
Perkongsian Tukang Jahit
Tidak mahu menambah beban, remaja berkenaan mempunyai tiga adik beradik lain yang masih bersekolah. Keadaan remaja yang menyayat hati itu mula terbongkar apabila seorang tukang jahit dari Seremban didatangi lelaki berkenaan.
“Semalam ada seorang budak India lelaki datang kat aku minta tolong labuhkan seluar sekolah dia. Seluar saiz 33 dan warnanya dah lusuh.
“Menung aku sekejap. Kenapa tak beli seluar baru?. Baki seluar tu ada 1 inci, macam mana nak lipat kelepet seluar itu nanti?,” soal wanita itu.
Wanita yang bernama Sharipah Sadiah Khalid itu kemudian tidak meminta sebarang upah setelah berjaya melabuhkan seluar itu. Menerusi perkongsian di Facebook, Sharipah turut mendoakan agar remaja itu cemerlang dalam apa saja bidang yang diceburi.
“Kadang-kadang bila kita rasa kita susah, rupanya ada lagi yang susah.” Tambahnya.
Ingat…bila kita rasa kita susah, rupanya ada yang lebih susah daripada kita. Jadi bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Moga adik ini rajin belajar sehingga mampu mengubah nasib keluarganya.
BACA LAGI : Sedihnya! Bapa Terpaksa Gadai Telefon Kerana Nak Beri Anak Duit Belanja Makan Di Universiti
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.