“Minta Maaf Guris Perasaan..” Ikmal Amry Jawab Soal Rentas Negeri

Share

Beberapa keping foto dan video yang dimuat naik pelakon Gantung, Ikmal Amry bersama isterinya, Najla Shamsul semasa sedang bercuti di Pulau Langkawi pada minggu ini telah menarik perhatian ramai pihak.

Seperti dijangka, komen balas warganet pantas hadir setelah Ikmal memuat naik video dan foto mereka berdua semasa sedang menghabiskan masa di pulau peranginan itu sehingga mencetuskan perbualan di media sosial.

Ramai beranggapan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga itu melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan merentas negeri. Apatah lagi apabila soal rentas negeri demi ‘bekerja’ kini hangat dibualkan oleh warganet disebabkan beberapa kes berprofil tinggi.

Lantas, Ikmal menerusi hantaran di Instagram Story tampil menjelaskan situasi sebenar.

“Pertama sekali, saya minta maaf jika muat naik saya telah mengguris hati warganet di luar sana.

“Tapi di sini, saya ingin tekankan bahawa saya (dan isteri telah) bercuti tanpa melanggar SOP. Saya telah berpindah dari Kuala Lumpur ke Negeri Sembilan untuk bersama isteri dan Negeri Sembilan kini di bawah arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kami ke Kedah yang juga negeri PKPP.

“Kami ke sana pun mengikut agensi pelancongan yang ditetapkan dan tidak menaiki kenderaan sendiri. Jadi, kami masih menjaga SOP.

“Cuma kesalahan saya adalah memuat naik hantaran (ke Instagram) pada masa yang tidak sesuai; dengan keaadan tidak boleh merentas negeri.

“Iyalah, manusia. Apabila sedang gembira, saya juga ingin menyimpan kenangan bersama isteri di Instagram. Untuk itu, saya minta maaf sangat-sangat. Selepas ini, saya akan berfikir dahulu tentang respon orang sekeliling sebelum ingin memuat naik sesuatu,” kata finalis Hero Remaja 2017 itu.

Terdahulu, Ikmal dan Najla telah disatukan empat bulan lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Majlis resepsi telah diadakan pada malam tersebut di sebuah hotel terkemuka di Melaka.

ARTIKEL BERKAITAN : Nyanyian Ikmal Amry Hadiah Kahwin Manis Untuk Isteri

Published by
FZ