Tiada angin tiada ribut. Tiba-tiba cuti Awal Muharram pada hari ini ‘dilanda’ sebuah isu yang berkait dengan pelakon dan pengacara jelita, Mira Filzah.
Bukan isu Mira ingin mendirikan rumah tangga ya, tetapi isu ‘cultural appropriation’ apabila Mira menyarungkan pakaian tradisi masyarakat India untuk kempen terbarunya.
Untuk pengetahuan, Mira menyarungkan Lehnga daripada Cassandra Collection untuk penggambaran gambar sebuah kempen kolaborasi di antara Lavue Lens dan Mira Filzah yang akan dilancarkan pada 31 Ogos ini.
Seorang pemilik akaun Twitter secara tiba-tiba menyentuh topik ini dan menganggap Mira ‘mencedok’ budaya masyarakat India dan mengaut keuntungan daripadanya.
Dalam ciapan terbaru pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu, Mira mengambil langkah awal memohon maaf sekiranya tindakannya menyarungkan Sari disalah anggap oleh mana-mana pihak.
Kata Mira, “Isu ini telah menjadi semakin besar dan saya tidak rugi apa-apa untuk menjadi pihak yang terlebih dahulu memohon maaf. Dan saya ikhlas meminta maaf jika telah menyakitkan perasaan sesiapa.”
REMAJA mendapatkan penerangan seseorang yang lebih pakar dalam topik ‘cultural appropriation’, iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Seni Lukis & Seni Reka di UiTM Shah Alam, Faizal Hamid.
Menurut beliau, terma ‘appropriation’ mahupun ‘homage’ dan ‘re-interpretation’ ini sememangnya merupakan terma yang dipopularkan pada zaman millenial, malah dijadikan pula trend masa kini.
Ia dipopularkan oleh masyarakat Barat terutamanya di Amerika Syarikat yang sememangnya sensitif apabila menyentuh cara pemakaian mirip komuniti berkulit gelap di sana.
“Selama 15 tahun yang lalu, media massa dan media internet telah berkembang dengan cukup pantas untuk kita didedahkan kepada pelbagai perkara terutamanya dalam sektor kreatif.
“Tak kiralah dalam dunia fesyen, muzik, seni, seni bina dan sebagainya, pencipta rekaan pastinya pernah menjadikan budaya sebagai satu bentuk sampling atau terma popularnya, ‘appropriation’ mengikut intepretasi sendiri.
‘So we cannot help but to put our personal stamp on it. Walaupun seolah-olah kita mengambil elemen budaya sesebuah masyarakat seperti pemakaian, selagi kita menghormati dan tidak melanggar norma serta sosio budaya masyarakat (seperti mencerca budaya sesebuah masyarakat), saya rasa tiada salahnya.
“Selagi ia diintepretasikan dengan penuh hormat dan tertib, imaginasi kreatif dengan menggunakan elemen kebudayaan sebagai inspirasi adalah merupakan satu bentuk penghormatan serta penghargaan terhadap budaya dan warisan tersebut, InsyaAllah,” jelas beliau penuh terperinci.
*
REMAJA merasakan bahawa isu ini telah digembar-gemburkan lebih daripada skala yang sepatutnya.
Sebagai negara yang berbilang kaum, sejak kecil lagi kita semua sudah didedahkan dengan keindahan budaya rakan-rakan kita yang berlainan latar belakang.
Apresiasi budaya sesama rakan ini telah membuatkan kita hidup secara harmoni, sesuatu yang jarang sekali dapat dikecapi oleh negara-negara lain.
Remaja Melayu memakai Sari, remaja Cina memakai Baju Kurung dan remaja India memakai Cheongsam, bukankah itu sesuatu yang sepatutnya diraikan? Ia tidak seharusnya dijadikan poin untuk melontarkan kecaman.
Jom sama-sama kita naikkan semangat patriotik sempena bulan kemerdekaan ini, bukannya menjejaskannya dengan isu sebegini.