Tahun 2002 menjadi tahun bersejarah bagi Rusia dalam arena ratu cantik antarabangsa. Mana tidaknya, tahun itu wakilnya di pentas Miss Universe, Oksana Federova berjaya menjadi pemenang bagi pertandingan tersebut.
Oksana yang berusia 25 tahun ketika memenangi mahkota yang diimpikan ramai wanita seluruh dunia itu walau bagaimanapun hanya sempat menjadi Miss Universe selama empat bulan sebelum kemenangannya ditarik balik.
Miss Universe Panama, Justin Pasek yang merupakan pemenang tempat kedua menjadi penggantinya sebagai Miss Universe 2002. Walaupun begitu, Justin tidak popular seperti Oksana. Sehingga kini ratu cantik dari Rusia itu masih dianggap sebagai Miss Universe 2002 dan insiden yang mana kemenangannya ditarik balik menjadi tanda tanya.
Menurut pemilik francais Miss Universe ketika itu, Donald Trump seperti kenyataan yang disiarkan oleh CNN berkata, “Kami fikir dia sangat cantik dan sangat baik, tetapi dia tidak dapat memenuhi tugasnya oleh itu, kami tidak mempunyai pilihan selain memecatnya.”
Biarpun banyak gosip liar yang disebarkan apabila kemenangannya ditarik balik, Oksana berpegang bahawa dia tidak dipecat sebaliknya dia meletakkan jawatan. Menerusi temu bual bersama Miss Universe 2005, Natalie Glebova, Oksana berkongsi kisah mengapa gelarannya sebagai Miss Universe 2002 ditarik balik.
Beliau sebenarnya bertindak mengikut kata hatinya untuk menamatkan kontrak kerana ingin meneruskan pengajiannya dalam bidang undang-undang. Setelah empat bulan menghabiskan waktu sebagai Miss Universe, dia mula memikirkan apakah kehidupan selepas itu.
Keputusannya untuk tidak meneruskan gelaran sebagai Miss Universe memberikan seribu satu makna. Dia berjaya menamatkan pengajiannya di peringkat kedoktoran dan bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Undang-Undang Awam. Dia seterusnya mengajar di Saint Petersburg University of the Ministry of Interior of Russia.
BACA JUGA: Menarik & Menawan, Ini 6 Gaun Pemenang Miss Universe Paling Diingati!
Selain bergelar pendidik, Oksana juga aktif dalam bidang seni terutamanya di dalam bidang pengacaraan, nyanyian, peserta rancangan realiti dan juga artis alih suara. Kini pada usia 44 tahun, wanita yang masih lagi mengekalkan keanggunannya ni bahagia bersama suami dan dua orang anaknya.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.