Miss Universe 2021 Akan Diadakan Di Israel. Berapa Banyak Negara Bakal Boikot Acara Ini?

Share

Perkhabaran ini baru sahaja diumumkan.

Edisi ke-70 pertandingan ratu cantik berprestij, Miss Universe 2021 bakal diadakan di Eilat, Israel.

Ini merupakan kali pertama pertandingan ini akan dilangsungkan di Israel. Ternyata keputusan tersebut mengejutkan banyak pihak terutamanya mereka yang prihatin terhadap penindasan yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin.

Dalam satu kenyataan oleh Paula Shugart yang merupakan presiden organisasi Miss Universe, beliau berkata, “Israel sudah menjadi sebuah negara yang disenarai pendek untuk menjadi tuan rumah acara Miss Universe beberapa tahun kebelakangan ini kerana kekayaan sejarah yang dimiliki.

“Ketika kami mencari lokasi untuk meraikan ulang tahun ke-70 Miss Universe melalui perbincangan dengan timbalan Datuk Bandar Lankri dan Kementerian Pelancongan Israel,  negara itu yang telah melakukan satu usaha yang baik dalam membendung pandemik global, selain mempunyai sumber terbaik bagi menjadi tuan rumah Miss Universe pada Disember tahun ini,” umumnya.

Mahkota yang menjadi rebutan wanita, rekaan Mouawad. Sumber gambar: Instagram Miss Universe

Mengapa Israel?

Apabila diumumkan sahaja Israel akan menjadi tuan tumah pertandingan ini, ramai tertanya-tanya mengapa agaknya Miss Universe memilihnya sebagai lokasi pertandingan yang membabitkan lebih daripada 80 delegasi dari seluruh dunia. Adakah semuanya kerana faktor duit ataupun ada faktor politik di sebalik keputusan yang dibuat ini?

Masyarakat dunia serba tahu Israel merupakan rejim yang menindas hak penduduk Palestin bermula dari rampasan tanah yang dilakukan hinggalah kepada membunuh wanita serta kanak-kanak tanpa segan silu. Mereka turut penjarakan ribuan rakyat Palestin tanpa keadilan.

Semenanjung Gaza sendiri sudah ibarat penjara tanpa bumbung yang mana sesiapa sahaja yang masuk dan keluar dari kawasan tersebut dikawal ketat oleh tentera Israel. Bukan hanya masyarakat beragama Islam saja yang menentang penindasan Israel malahan masyarakat dunia yang menentang kekejaman.

Demonstrasi boikot Israel yang dilakukan di London sebagai tanda menentang penindasan dan kekejaman terhadap Palestine. Sumber gambar: Reuters/AlJazeera

Miss Universe yang membawa moto ‘Confidently Beautiful’ dilihat sebagai satu platform dalam menyuarakan agenda pembangunan wanita dan juga kesejahteraan dunia. Moto ini jelas bercanggah dengan keputusan mereka untuk mengadakan pertandingan di negara tersebut.

Di saat bakal peserta Miss Universe 2021 membawa ideologi tentang keamanan, kekuatan wanita dan hak kesamarataan; mereka sendiri peru menutup sebelah mata terhadap kekejaman Israel terhadap warga Palestin? Ini adalah sesuatu yang salah.

Miss Universe 2020, Andrea Meza. Sumber gambar: Instagram Miss Universe

Jadi agaknya, berapa buah negara saja yang akan bertanding di pertandingan tersebut tahun ini? Dan negara manakah yang bakal memboikot? Tambahan pula, negara seperti Malaysia dan Indonesia yang tidak mempunyai pertalian diplomatik dengan Israel serta melarang pergerakan keluar masuk rakyat ke Israel. Nampak gayanya, lebih banyaklah negara yang mempunyai prinsip sebegini yang akan membatalkan penyertaan mereka.

***P/S – Kes seperti ini pernah berlaku semasa pertandingan ratu cantik Miss World pada tahun 1976 apabila beberapa buah negara memboikotnya kerana Afrika Selatan menghantar dua wakil negara iaitu seorang berkulit hitam dan seorang berkulit putih. Ketika itu, dasar Apartheid yang mendiskriminasi warga asal negara tersebut yang berkulit hitam dikecam hebat dunia.

Published by
Fiezreen