Miss Universe 2022, R’Bonney Gabriel Letak Jawatan Sebagai Miss USA. Serah Mahkota Kepada Naib Juara

Share

Kemenangan R’Bonney Gabriel sebagai Miss Universe 2022 pada 14 Januari 2023 yang lalu mencipta fenomena apabila dia menjadi wakil kesembilan Amerika Syarikat yang berjaya memegang gelaran berprestij tersebut.

Pemilihannya juga dilihat tepat dengan visi baharu organisasi Miss Universe yang mahukan seorang pemenang yang memiliki persona sebagai seorang transformational leaders. Sebagai seorang pereka fesyen, wanita berusia 28 tahun itu telah melakukan inisiatif dalam dunia fesyen agar menjadi lebih mapan dan memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar menerusi jenama fesyennya sendiri.

Kredit foto: Instagram Story R’Bonney Gabriel

Kini setelah hampir dua minggu bergelar Miss Universe, R’Bonney telah melepaskan jawatannya sebagai Miss USA yang dimenangi pada Oktober tahun lalu. Perkara ini bukanlah satu perkara asing, ia sudah menjadi tradisi di organisasi Miss USA sejak dahulu lagi.

Jika pemenang yang mewakili Amerika Syarikat di pertandingan Miss Universe berjaya bergelar pemenang, takhta Miss USA akan diberikan kepada naib juara. Ini bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang oleh organisasi Miss USA tetap dapat dijalankan setelah pemenang sebelumnya bakal sibuk dengan organisasi Miss Universe dan akan mengembara serata dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Negara Paling Berjaya Di Miss Universe, Bukan Semua Cemerlang. Ini 4 Wakil USA Gagal Bergelar Semifinalis

Kredit foto: Instagram Morgan Romano

Gadis bertuah kini bergelar Miss USA 2022 yang baharu ialah Morgan Romano. Gadis berusia 24 tahun yang merupakan seorang jurutera kimia ini dimahkotakan oleh R’Bonney ketika pertandingan pusingan awal Miss Alabama USA dan Miss Teen Alabama USA 2023.

Cantik menggayakan gaun merah menyala, Morgan dilihat terseyum riang dengan mahkota yang baharu sahaja diterimanya. Bukan calang-calang, sebagai seorang jurutera kimia, dia menjalankan aktiviti memperkasakan nilai cinta kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam satu hantaran di laman Instagramnya, Morgan menulis, “Hati ini penuh kesyukuran. Saya milik anda, USA.” Hantaran tersebut mendapat reaksi positif daripada pencinta ratu cantik dan masing-masing meninggalkan mesej mengucapkan tahniah kepadanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gelaran Miss Universe 2022 Disandang Oleh Amerika Syarikat Selepas Penantian 10 Tahun

Kredit foto: Instagram Morgan Romano

Sedikit latar belakang mengenai Miss USA 2022 yang baharu ini, Morgan ialah alumni University of South Carolina yang mana dia memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Kimia pada tahun 2020. Selain bergelar Miss USA, dia juga memiliki kerjaya sebagai Jututera Aplikasi di di R.E. Mason di Charlotte, North Carolina.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen