Jika ada satu perkara yang kami harapkan berlaku kepada pertandingan ratu cantik antarabangsa sepopular Miss Universe pada setiap tahun, ia adalah mengenai inklusiviti lebih ramai ‘wanita biasa’ yang tidak kurus melampau, yang boleh menginspirasikan ramai remaja perempuan dengan kisah peribadi mereka dan benar-benar ingin melakukan perubahan kepada ‘beauty standard’ yang selama ini berada di takuk lama.
Berapa kerap korang dengari komen seperti wanita Asia yang cantik perlulah memiliki kulit cerah; atau wanita berambut pendek tidak kelihatan feminin dan mungkin juga komen seperti wanita yang mempunyai peha yang ‘saling bercantum’ adalah wanita obes. Ya, masih ada lagi masyarakat yang berfikiran sedemikian pada zaman moden ini. Apa yang lebih mengecewakan adalah apabila kebanyakan komen negatif ini hadir daripada perempuan sendiri terhadap perempuan lain.
Well, ada seseorang yang ingin mengubah semua itu.
Dia tidak lain tidak bukan ialah Anchilee ‘Ann’ Scott-Kemmis yang baru saja dinobatkan sebagai Miss Universe Thailand 2021.
Apa yang lebih penting, dia ingin mengubah persepsi masyarakat terhadap ‘beauty standard’ lapuk.
Ann mewakili beauty standard realistik dalam dunia sekarang di mana dia ingin masyarakat sedar akan saiz sebenar seseorang wanita itu. Baginya, tiada salahnya untuk seorang wanita meraikan saiz badan sebenar tanpa perlu bergolok gadai membeli produk yang salah atau cuba menyakiti diri sendiri hanya untuk kelihatan lebih kurus dari yang sepatutnya.
Di sinilah kekuatan yang dimiliki oleh Ann sehingga dia terpilih sebagai wakil Thailand ke pentas Miss Universe 2021 pada bulan Disember ini di Israel. Dia raikan diversiti dan penonton wanita yang menyaksikan pertandingan itu kelak akan sedar bahawa Ann memahami apa yang mereka rasakan selama ini.
Dalam ucapan pengenalannya, Ann berkata, “Di sini saya mewakili setiap satu daripada anda yang pernah merasakan diri diketepikan, diadili atau disakiti kerana anda dikatakan tidak menepati standard. Saya ingin menjadi suara anda terutamanya gadis muda untuk meraikan keperibadian masing-masin dan keunikan anda. Saya tahu anda wujud dan saya di sini untuk anda. Terima kasih,” katanya dengan penuh yakin.
Mengenalinya dengan lebih lanjut, Ann sebenarnya merupakan seorang gadis berdarah kacukan. Dia dilahirkan oleh seorang ibu berdarah Thai manakala ayahnya berasal dari Australia.
Biarpun berdarah campur, Ann tidak kekok dengan budaya dan bahasa ibunda Thai setelah menghabiskan zaman kanak-kanak dan remajanya di Thailand sebelum berkelana ke Australia untuk melanjutkan pengajian sarjana muda dalam bidang sosiologi di University of Sydney.
Sepanjang berada di peringkat sekolah dan universiti, Ann cukup aktif menjadi kapten tiga sukan berbeza iaitu bola tampar, bola keranjang dan softball
. Lebih menakjubkan apabila dia juga pernah menjadi sebahagian daripada pemain saringan pasukan kebangsaan.Selama ini, Ann digelar sebagai model ‘plus-size’ disebabkan tubuhnya yang lebih berisi jika dibandingkan dengan model yang selalu ditempah dalam industri fesyen. Namun, ramai menyatakan bahawa Ann tidak seharusnya dilabel plus-size. Dia adalah contoh terbaik untuk menunjukkan bagaimana pakaian yang ingin mereka beli kelihatan pada tubuh badan manusia sebenar.
Adakah Anchilee Scott-Kemmis berjaya menegakkan mesejnya di pentas Miss Universe 2021. Sama-sama kita saksikan.