Mizz Nina Selamat Bernikah Dengan Pelakon, Penyanyi Dan Penulis Lirik

Share

Penyanyi, penerbit dan usahawan, Mizz Nina hari ini telah mengejutkan ramai apabila mengumumkan yang dia sudah selamat melangsungkan perkahwinan dengan jejaka bernama Essam Muhammad dalam satu majlis yang dihadiri ahli keluarga dan sahabat terdekat sahaja.

Pegumuman tersebut dibuat menerusi satu hantaran di laman Instagramnya memaparkan dia dan suami tampil berseri dalam persalinan rona putih sambil berpegangan tangan.

“Alhamdulilah, segala puji dan syukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang indah ini ingin saya kongsikan kepada anda semua, dan itulah pengumuman rasmi bahawa saya baru sahaja bernikah pada suku kedua 2023 dengan suami tercinta, Essam Muhammad dalam suasana peribadi bersama keluarga dan rakan rapat,” kongsinya

Meninjau ke laman Instagram Essam, dibahagian biodata tertulis kerjayanya sebagai seorang penulis lirik, penyanyi dan pelakon.

Sama-sama terlibat dalam dunia seni, pemilik nama penuh Shazrina Azman ini menyatakan bahawa dengan restu kedua orang tua dia dan suaminya mampu menyempurnakan separuh daripada agama masing-masing.  Mereka juga berniat untuk menggunakan bakat yang dimiliki ke arah dakwah.

“Allah adalah sebaik-baik perancang, dan telah menulis bab kehidupan kita ini dengan begitu indah. Alhamdulilah, dengan restu ibu bapa kami berdua dapat menyempurnakan separuh lagi agama masing-masing. Kami berdua telah mendedikasikan hidup kami untuk dakwah, kami berkongsi matlamat, aspirasi yang sama dan teruja untuk lembaran baru dalam hidup kami.

“Satu-satunya tujuan di sebalik semua usaha kita dalam kerja yang kita lakukan adalah berakar pada iman dan asasnya akan sentiasa kerana Allah. Dunia ini sementara dan hari esok tidak pernah dijanjikan.

“Kami memahami bahawa perkahwinan adalah untuk menumbuhkan cinta, mencari ketenangan dan mempunyai belas kasihan dan bahawa niat utama haruslah sentiasa untuk mencari keredhaan Allah agar kita dapat melangkah melalui pintu-pintu Jannah bersama.

“Semoga Allah menggunakan bakat dan rezeki yang kita ada untuk memberi manfaat dan memartabatkan Ummah. Semoga Allah menjaga keikhlasan kita, dan sentiasa melindungi kita dalam perjalanan,” ujarnya panjang perihal ini.

Essam Muhammad.

Mengenai majlis perkahwinannya pula, ibu kepada seorang cahaya mata ini berkongsi, “Kami akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan secara tertutup tidak lama lagi di KL in shaa Allah.”

“Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, keluarga dan kawan rapat kami. Kami menghargai sokongan, kasih sayang dan doa anda. Kami berdoa dan memohon yang terbaik untuk pegangan dunia & akhirat buat anda semua,” tambahnya lagi.

Sedikit informasi, sebelum ini Mizz Nina pernah berkahwin dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh selama lebih sepuluh tahun sebelum mengumumkan perceraian pada Ogos tahun lalu. Mereka juga memiliki seorang anak angkat yang dikenali dengan nama Musa.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen