16 Job Dalam 2 Bulan, Model 14 Tahun Dikatakan Mati Akibat Overwork

Share

Setiap tahun, dunia fesyen pasti menyaksikan ramai peragawati-peragawati muda muncul dari setiap pelosok dunia. Memulakan karier dalam industri ini seawal usia 13 atau 14 tahun kini bukan lagi satu perkara baru. Malah, ramai antara supermodel terkenal yang turut memulakan karier mereka pada usia awal.

Namun, adakah ia baik untuk perkembangan sama ada dari segi kesihatan fizikal atau mental mereka. Tanpa pengawasan daripada ibu bapa atau penjaga, pelbagai kemungkinan buruk boleh berlaku. Kes-kes seperti manipulasi, gangguan seksual dan tempoh kerja tanpa kawalan pernah dilaporkan sebelum ini.

Jumaat lalu seorang peragawati, Vlada Dzyuba yang baru berusia 14 tahun meninggal dunia di sebuah hospital di China. Gadis warganegara Rusia itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan serius sebelum jatuh koma pada hari Rabu minggu lepas.

Vlada merupakan peragawati bagi ESSE Model Management yang terikat dengan kontrak selama 3 bulan dan dilaporan menerima bayaran USD8 sehari. Laporan dari The Siberian Times

mendakwa bahawa Vlada telah bekerja melebihi tempoh waktu dibenarkan di dalam kontraknya – termasukan pertunjukan fesyen yang berlangsung selama 13 jam. Dia juga dikatakan tidak mempunyai perlindungan insurans perubatan.

Agensi Vlada menolak dakwaan ini dengan mangatakan Vlada hanya baru melakukan sebanyak 16 tugasan sepanjang 2 bulan dia berada di China. Dan setiap tugasan itu dakwa mereka tidak melebihi 8 jam waktu bekerja.

Hasil pemeriksaan awal punca kematiannya mendapati bahawa dia meninggal akibat meningitis yang disebabkan oleh kepenatan melampau. Disebabkan itu, beberapa organ utama seperti hati telah gagal berfungsi.

Apa yang menyedihkan lagi sebelum kematianya Vlada sempat menelefon ibunya, Oksana.

“Vlada menelefon saya dan mengatakan dia sangat penat dan ingin tidur. Mungkin itulah peringkat awal sebelum dia sakit dan koma. Suhu badannya juga meningkat secara mendadak.”

Kejadian seperti ini bolehlah kita ambil sebagai pengajaran. Kadangkala jika tidak diberikan pengawasan ramai orang lupa bahawa insan yang baru berusia belasan tahun memerlukan pengawasan yang baik. Walaupun mereka mempunyai cita-cita dan ingin menggapainya namun jangalah sehingga membawa keburukan.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim