Mengikut perancangan awal, jenama fesyen Itali Dolce & Gabbana ingin menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen serba dramatik dan sempurna di kota romantik, Venice bagi koleksi terbaru mereka yang dinamakan Alta Sartoria.
Segala persiapan rapi telah dilakukan, para model telahpun bersedia dengan pakaian yang disarungkan pada tubuh lampai mereka.
Malah, para tetamu kelas A termasuklah Jennifer Lopez, Helen Mirren, Heidi Klum, Travis Scott, Monica Bellucci, Kate Bosworth, January Jones, Megan Thee Stallion, Ciara, Vins Diesel, Christian Bale, Jennifer Hudson dan Kourtney Kardashian juga telah duduk di barisan hadapan runway.
[Fuh, memang ramai selebriti yang dijemput oleh mereka bagi meraih publisiti.]
Segala-galanya memang memenuhi syarat Dolce & Gabbana.
Tapi usah sesekali kita lupakan faktor cuaca.
Perancang acara sebenarnya telah mengagak bahawa cuaca tidak mengizinkan bagi ‘outdoor set up’ mereka. Oleh itu, acara tersebut telahpun dianjak ke depan dan ia bermula sejam awal dari waktu sebenar. Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya apabila langit gelap membumbungi lokasi pertunjukan fesyen di Venice itu.
Dalam hantaran yang dimuat naik ke media sosial oleh tetamu yang hadir untuk menyaksikan 110 busana baharu Dolce & Gabbana itu, memang jelas langit sudahpun gelap dan awan mendung memberi amaran akan cuaca buruk yang bakal melanda.
Disangkakan hujan renyai atau angin kuat yang akan dialami tetamu pada saat-saat akhir acara. Sebaliknya, mereka telah dikejutkan dengan hujan batu!
Serta-merta, ramai yang cuba berlari ke dalam bangunan berhampiran untuk mendapatkan perlindungan.
Sementara itu, ada tetamu yang masih yakin untuk kekal di tempat duduk masing-masing di bawah payung serta alas kusyen tempat duduk yang dijadikan sebagai perisai kepala.
Dalam beberapa video tersebut, korang boleh mendengar mereka menjerit ‘ow!’. Iyalah, hujan batu kot! Tentulah mereka merasa sakit.
Menariknya, kekecohan yang berlaku di tempat duduk penonton itu langsung tidak menganggu fokus para model di atas pentas yang terus berjalan seperti tiada apa-apa luar biasa yang sedang berlaku.
Malah dalam hantaran foto Dolce & Gabbana selepas acara tersebut berakhir, para model kelihatan seolah-olah sedang menikmati keadaan cuaca yang pastinya tidak pernah mereka sangka akan berlaku dalam kerjaya peragaan mereka.
Apa yang pasti, ramai tampil memuji betapa profesionalnya para model yang terus melangsungkan tugas mereka di atas pentas peragaan tersebut biarpun terasa sakit.
Apapun, hujan batu ini tidak sama sekali menghancurkan pertunjukan fesyen ini. Malah, ia dianggap berjaya kerana telah menjadi topik perbualan di media sosial dan kini, semua orang bercakap mengenai insiden ini serta koleksi Dolce & Gabbana sendiri.