MRSM Bentong Cuba Rahsiakan Kes Positif COVID-19 Pelajar SPM?

Share

 

Sejak 21 Januari lalu, pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan SPM, STPM dan peperiksaan utama lain bermula Februari hingga Mac 2021 telahpun pulang ke sekolah masing-masing bagi menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka.

Meskipun keputusan kerajaan itu mendapat respon bercampur-aduk daripada rakyat, ia masih diteruskan demi persediaan para pelajar yang lebih teratur dan fokus.

Malang sekali apabila Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong di Pahang dilaporkan baru saja berdepan kes beberapa pelajar sekolahnya yang disahkan positif COVID-19.

Selain daripada lima pelajar berkenaan, seramai tiga orang pekerja dewan makan sekolah juga disahkan postif COVID-19. Berikutan perkembangan yang mendukacitakan ini, lebih 100 orang pelajar MRSM Bentong diarahkan untuk kuarantin di blok asrama masing-masing.

Berita tersebut telahpun disahkan oleh Pengarah Kesihatan negeri Pahang, Datuk Bahari Awang Ngah.

Cuma, apa yang tidak enak sedikit adalah apabila timbul khabar angin yang mengatakan bahawa pihak sekolah dikatakan cuba merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan awam.

Mengambil kira khabar angin itu, MARA dalam satu kenyataan berkata, pihak sekolah sentiasa memberikan maklumat terkini kepada ibu bapa dan kakitangan sekolah berkenaan akan situasi semasa sebenar. Tiada arahan untuk ‘mendiamkan perkara’ ini telah dikeluarkan oleh pihak sekolah.

Kenyataan tersebut juga menambah, “MRSM Bentong telah mengambil langkah segera dengan menubuhkan Jawatankuasa Bencana COVID-19 MRSM Bentong bagi menguruskan kes yang berlaku.

“Seramai 38 pelajar, 5 pekerja dewan selera, 6 staf yang bertugas di asrama dan seorang guru yang didapati sebagai kontak rapat kepada pelajar yang disahkan positif untuk menjalani ujian saringan di maktab.”

Sepanjang tempoh kuarantin selama 10 hari itu, MRSM Bentong akan memastikan makanan mencukupi dihantar kepada para pelajar. Mereka juga dibekalkan peranti bersesuaian agar mereka boleh mengikuti sesi pembelajaran secara atas talian dengan berkesan bagi menghadapi SPM peperiksaan kelak.

Pada masa yang sama, segala kerja-kerja sanitasi di kawasan asrama, bilik kuliah dan sekitar kompaun sekolah telah mula dilakukan oleh pihak Bomba.

ARTIKEL BERKAITANKPM Umum Tiada Lagi Ujian Percubaan SPM Kali Ini – REMAJA

REMAJA doakan agar semua pesakit yang telah dikesan itu segera pulih.

Semoga pelajar yang bakal menduduki peperiksaan serta para petugas institusi di seluruh negara dilindungi daripada potensi jangkitan COVID-19.

Published by
FZ