
Sebagai mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada negara, Majlis Amanah Rakyat (MARA) bercadang menamakan semula MRSM Ulul Albab di Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
BACA: Tun Abdullah Ahmad Badawi & Ekonomi Malaysia: Legasi ‘Mr Clean’ Yang Tak Harus Dilupakan
Katanya, pihak MARA telah diminta menyediakan kertas cadangan penukaran nama tersebut kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Antara justifikasi penting bukan sahaja mengenang jasa Almarhum Tun Abdullah atau Pak Lah selaku bekas Perdana Menteri Malaysia.
“Bahkan zaman beliaulah agenda Ulul Albab ini mula diperkenalkan bagi membangunkan modal insan yang seimbang dan holistik bukan sahaja dalam ilmu sains dan teknologi tetapi menguasai Al-Quran di bawah dasar Islam Hadhari.
BACA: Tun Mahathir Puji Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kenang Pertemuan Kali Pertama Di Pasar Raya

“Sebab itulah Pak Lah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan,” jelas beliau.
Untuk info, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada Isnin lalu dan telah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur semalam.
Tun Abdullah, yang dikenali ramai sebagai Pak Lah, merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas dari tahun 1978 hingga 2008, dan menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri kelima Malaysia dari 2003 hingga 2009.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTokrasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: FB Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki