Pada zaman ini, penyanyi dan band tempatan lebih memilih untuk melancarkan single baharu berbanding album penuh mahupun album pendek (EP).
Ini mungkin adalah sebahagian daripada strategi mereka untuk mengurangkan kos pembikinan album dan fokus kepada promosi satu single sebelum ‘lompat’ ke single seterusnya.
Biarpun begitu, mereka tetap menghadiahkan peminat mereka dengan video muzik (MV) bagi setiap single yang dilancarkan itu untuk memberi kepuasan dan makna terhadap lagu yang dihasilkan.
Beberapa penyanyi dan band tempatan yang dilihat giat melancarkan MV baru-baru ini termasuklah Black Hanifah (Sabar), Luqman Faiz (Boneka), Ukays (Terpaksaku Tinggalkan), Basikal Band dan Amir Hasan (I Shy).
MV Sabar nyanyian Black Hanifah
MV I Shy nyanyian Amir Hasan.
Di sebalik tabir pembikinan MV Boneka nyanyian Luqman Faiz
Menariknya, dalam setiap MV yang disenaraikan ini, ia menampilkan pelakon wanita yang sama!
Haihh, kalau tak muka dia, muka dia lagi. Hehe... Siapakah sebenarnya si dia ini?
Inilah finalis pencarian Dewi Remaja 2019, Yusmyra Natasya atau lebih mesra dengan panggilan Myra.
Mula membabitkan diri dalam bidang peragaan dan lakonan sejak tahun lalu, Myra telah diberikan peluang untuk muncul dalam 5 buah MV dalam tempoh beberapa bulan saja. Bukan satu, dua tapi lima! Sehinggakan ada yang menggelar Myra sebagai ‘Ratu MV’.
“Bagi saya, semua itu adalah rezeki dan saya gembira untuk terlibat dalam setiap projek tersebut. Untuk MV pertama, saya perlu menghadiri ujibakat, tetapi selepas ini untuk MV seterusnya, pihak pengurusan artis yang mempelawa saya untuk menjadi pelakon utama MV mereka.
“Mengenai pendapat, ‘Asyik muka saya saja yang membintangi MV’, saya tidak kisah sebenarnya. Ini bermakna saya telah perbaiki mutu lakonan saya from one MV to the next, sehinggakan mereka mengambil saya lagi. Syukur.
“Lagipula, penggambaran sebuah MV hanya mengambil masa sehari dua saja. Jadi komitmen yang perlu saya berikan tidaklah terlalu banyak,” kata Dewi berusia 26 tahun ini.
Biarpun sibuk sebagai ‘Gadis MV’, Myra tetap menerima tawaran telemovie, drama dan baru-baru ini, menerima tawaran sebagai pengacara rancangan berbentuk travelogue.
Menerusi travelogue 13 episod berjudul ‘Hello Sunset’ Myra menganggap ia sebagai cabaran baharu memandangkan belum pernah mengacarakan apa-apa segmen atau rancangan sebelum ini.
“Pengarah Hello Sunset, Yusma Ghazali banyak membantu saya. Beliau berpengalaman mengarahkan genre travelogue sebelum ini seperti rancangan ‘Kayuh Makan Ulang’.
“Hello Sunset membawa saya bercuti ke seluruh Semenanjung Malaysia di mana saya akan mengunjungi tempat-tempat menarik dan ia akan diakhiri di spot melihat matahari terbenam.
View this post on Instagram
“Melihatkan kepada senarai lokasi yang diberi, saya tidak sabar untuk mengunjungi kesemunya especially ke Tadom Hill. Kata orang, tempat tersebut cantik!” kongsinya yang baru saja memulakan penggambaran ‘Hello Sunset’ semalam selepas arahan PKP berakhir.
All the best Myra! Bagi korang yang belum pernah melihat Myra lagi, jom tonton beberapa MV yang menampilkannya di bawah.