Kolaborasi Kaka Azraff, Loca B dan Noki Kclique nampaknya mendatangkan hasil apabila lagu nyanyian mereka berjaya menambat hati juri pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35. Seakan tidak percaya, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji meluahkan rasa syukur apabila lagu ciptaan bersama Ezra Kong, Loca B dan dirinya sendiri dinobatkan sebagai pemenang.
“Sejujurnya memang saya mengharapkan kejayaan lagu Gila ini di pentas akhir AJL 35. Sebelum ini ada banyak hint yang saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan, sepertinya lagu ini bakal mendapat pengiktirafan. Tetapi, saya tidaklah berharap untuk menjadi juara. Asalkan dapat tempat di dalam senarai pemenang, kami sudah cukup berpuas hati,”
“Ketika diumumkan Aina Abdul sebagai naib juara, waktu tu saya seperti dapat merasakan bahawa kami sudah tidak ada rezeki untuk mendapat tempat dalam AJL 35 itu. Tetapi, sebaik sahaja diumumkan lagu Gila sebagai juara, memang saya rasa terkejut dan kalau korang boleh nampak, saya terduduk di atas pentas. Muka dah ganas, buat lirik rap, tapi menangis bila diumumkan sebagai pemenang,” jawab Noki sambil ketawa.
Kemenangan ini sememangnya memberi satu makna besar buat Noki kerana sekali lagi, mereka telah membuktikan bahawa muzik rap mampu untuk memberikan persaingan dan diiktiraf di anugerah berprestij.
“Alhamdulillah, semakin muzik rap diterima ramai, semakin murah rezeki untuk artis-artis hip hop mencari rezeki di negara kita. Ini membuka lebih banyak peluang untuk penggiat seni hip hop mendapat tempat dalam industri muzik,”
“Kalau nak cerita tentang pembabitan saya dalam lagu ini pula, sebenarnya saat pertama kali diberikan demo untuk lagu Gila ini, saya terus bersetuju kerana merasakan ia adalah sesuatu yang unik. Lagu ini tidak common
dan muziknya juga segar. Pendek kata, pendengar tidak akan pernah mendengar bait-bait lagu ini seperti lagu-lagu lain,”“Lirik yang ditulis oleh saya ini juga berlaku secara on the spot sewaktu rakaman. Pada mulanya, lirik yang dibuat tanpa melodi, tapi bila waktu rakaman tu barulah semuanya dilengkapkan,” kongsi Noki.
Nama Kclique bukan hanya dikenali sebagai kumpulan rap, seperti yang kita sudah maklum, mereka juga menghasilkan lagu single tersendiri dan kolaborasi bersama penyanyi lain. Selain Noki, anggota Kclique yang lain turut aktif dalam projek solo mereka sendiri, termasuklah MK, Tuju, FareedPF dan SoMean.
Namun, kejayaan Noki di pentas akhir AJL 35 telah membuka mata ramai, sekali gus membuktikan bahawa usahanya selama ini tidak sia-sia.
“Sebenarnya kemenangan ini bukan untuk Noki, tapi ia adalah rezeki buat keluarga Kclique. Mereka sentiasa memberi sokongan dan tidak pernah menghalang jika salah seorang daripada kami ingin berkarya secara solo atau berkolaborasi bersama orang lain,”
“Setiap ahli Kclique yang mempunyai projek solo, pastinya kami semua memberikan sokongan dan kejayaan saya pada malam AJL 35 itu juga adalah kejayaan bersama Kclique,” jelasnya lagi.
Noki juga menjelaskan bahawa dia kini sibuk dengan persembahan pentas bersama Kclique, selain mereka juga sedang mempersiapkan album penuh.
“Buat masa ini saya memang memberikan keutamaan kepada Kclique kerana kami sedang dalam usaha menyiapkan album penuh. Namun, insyaAllah saya juga akan menghasilkan single terbaru yang akan dilancarkan dalam tahun ini,” tambahnya.
Sekali lagi Remaja ingin mengucapkan tahniah kepada Noki, Kaka Azraff, Loca B dan Ezra Kong kerana dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu 35.