
Kit Kat Lotus Biscoff yang pertama kalinya diperkenalkan di Dubai kini sudah boleh didapati di pasaran Malaysia. Lapisan wafer Kit Kat yang mempunyai taburan cookie Lotus Biscoff di dalamnya adalah gabungan terbaik dengan rasa yang seimbang diantara kedua-dua pemanis mulut itu.
Sekiranya korang tertanya-tanya macam mana gambaran gabungan coklat tersebut, korang boleh rujuk seperti dalam gambar di bawah.



Pembelian boleh dibuat menerusi aplikasi Lazada atau Shopee, tapi nampaknya stok adalah terhad. Jadi, sekiranya korang teringin nak rasa Kit Kat x Lotus Biscoff ni, kena selalu update dengan stok terbaru ya.
Kalau dilihat perbezaan harga antara Shopee dan Lazada memang agak ketara. Kami pun tidak dapat pastikan kenapa jurang perbezaan harga itu terlalu tinggi, tapi mungkin sebab di Shopee sudah ‘ready stock‘, jadi korang buatlah pilihan dengan bijak ya. Hiks!
Sumber: (1)
Tempoh Period Pun Boleh Dapat Ganjaran Pahala Di Bulan Puasa, Ini Amalannya!

Alhamdulillah, esok bermulalah hari pertama di bulan Ramadan. Ini juga merupakan bermulalah ibadah puasa terutamanya buat orang Islam di Malaysia. Walaupun kita masih dibelengu pandemik Covid-19, namun ini bukanlah penghalang untuk umat Islam mengutip pahala di bulan mulia ini.

Namun, sering menjadi tempoh period atau keuzuran seperti haid dan nifas sebagai kekangan kita untuk merebut ganjaran yang ditawarkan Allah SWT dalam bulan Ramadan.
Ini 7 amalan yang boleh dilakukan oleh wanita yang dalam keuzuran.
1. Menyediakan makanan berbuka
Boleh sediakan untuk sesiapa saja. Masak dan sediakan untuk ahli keluarga sendiri pun boleh dapat pahala orang yang berpuasa.
Kalau tak sempat masak, korang boleh beli saja dan berikan kepada orang lain untuk berbuka.
2. Menyediakan makanan sahur
Selain mendapat pahala memberi makan kepada orang lain, ia juga memberi peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur dengan qiyamullail.
Qiyamullail tidak semestinya solat. Boleh dalam bentuk zikir, istighfar dan doa. Korang boleh doa banyak-banyak, waktu mustajab ni.
3. Menjauhi larangan agama
Jangan kerana tidak puasa korang terus menghabiskan hari 10 terakhir Ramadan dengan perkara yang lalai dan sia-sia. Manfaatkan masa dengan kebaikan. Jaga mata, jaga telinga, jaga mulut dan jaga anggota badan daripada perkara yang dilarang.
4. Banyakkan berdoa dan berzikir
Sepanjang bulan Ramadan adalah waktu mustajab berdoa. Lebih-lebih lagi ketika waktu berbuka, waktu bersahur dan 1/3 malam. Sambil-sambil tolong siapkan makanan tu, banyakkan berdoa.
5. Mengingatkan ahli keluarga kepada kebaikan
Ingatkan ahli keluarga lelaki supaya solat fardhu dan solat tarawih berjemaah di masjid. Jika ada ahli keluarga dalam kalangan anak kecil, korang boleh tolong jagakan. Mudahkan ahli-ahli keluarga lain untuk beribadat.
6. Menyibukkan diri menuntut ilmu
Manfaatkan masa dengan menghadiri majlis ilmu, mendengar ceramah agama, membaca buku ilmiah, mendengar bacaan al-Quran, membaca tafsir al-Quran dan sebagainya. Paling penting, korang dapat menambahkan amal kebajikan dan manfaat buat diri.
7. Banyakkan bersedekah dan derma
Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Rebutlah pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadan dengan bersedekah. Lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir Ramadan. Banyakkan sedekah.
Universiti Di India Benarkan Pelajar Buat Soalan Peperiksaan Sendiri Semasa Pandemik

Bunyinya agak mustahil, bagaimana pelajar boleh keluarkan soalan sendiri? Bagaimana pensyarah dan pihak universiti boleh benarkan? Macam-macam persoalan yang terlintas, namun inilah kenyataan yang terjadi di India.
Seperti kita semua ketahui, para pelajar adalah di antara golongan yang terjejas teruk akibat situasi pandemik yang tidak menentu. Kebanyakkan daripada mereka berasa tertekan kerana perlu mengikut kelas dan syarahan secara maya.
Melihat kepada keadaan tersebut, baru-baru ini Indian Institute Of Technology (IIT) yang merupakan sebuah universiti di Goa, India telah mengambil keputusan untuk membenarkan pelajar membuat soalan peperiksaan semester mereka sendiri demi mengurangkan tekanan yang dihadapi pada musim pandemik.
Menurut sumber India Today, pelajar diarah menyediakan soalan peperiksaan untuk semester itu dan soalan hendaklah mengandungi kesemua jilid yang telah dipelajari sepanjang semester; yang terdiri daripada 30 syarahan kesemuanya.
Pelajar juga diarah menjawab soalan mereka sendiri dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Kertas soalan yang diberikan oleh pihak universiti ini telah dibahagikan kepada 2 bahagian. Bahagian pertama adalah untuk 30 markah manakala bahagian kedua untuk 40 markah.
Hhm, apa pendapat korang mengenai idea ini? Adakah ia sesuai diguna pakai dalam sistem pendidikan di Malaysia sekarang ketika pelajar perlu berdepan dengan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)?
Mungkin dengan cara sebegini, pelajar boleh meringankan beban dan tekanan yang dihadapi akibat ODL. Secara tidak langsung semasa membuat soalan peperiksaan mereka, pelajar akan menelaah setiap subjek yang telah dipelajari. Tak gitu?
Dhan Illiani ‘Layang’ Mesej Menerusi NIYAT

Balai Seni Negara telah mempersembahkan program sokongan ‘NIYAT HOKI’ serentak dengan tayangan perdana video seni abstrak ‘NIYAT’ yang merupakan kali pertama dalam Pameran Hanya Satu ke-6: ‘NIYAT’ oleh Dhan Illiani Yusof dan kolektif seni tempatan, KolmeGlu.
Dhan Illiani, seorang pengkarya muda tempatan yang juga memiliki keistimewaan sebagai pemain hoki ais wanita kebangsaan akan mewakili negara pada Sukan SEA 2025. Oleh itu, latar pameran ini diinspirasikan daripada sukan yang diceburinya.
‘NIYAT HOKI’ adalah sebuah persembahan yang mengetengahkan sukan hoki ais wanita, mengambil inspirasi dari pelbagai reaksi, tanggapan, dan pandangan masyarakat terhadap sukan yang melibatkan wanita muda.
Salah satu misi di sebalik acara ini adalah untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang hoki ais sambil menekankan kepentingan dan potensi sukan ini untuk mendapatkan sokongan, terutamanya dari pihak penaja.
Selain itu, persembahan seni ini juga diadakan sebagai ‘NIYAT’ untuk memperkaya pengalaman keseluruhan pameran, memberikan pandangan dinamik tentang makna sebenar ‘NIYAT’ melalui sesi perbincangan seni selepas acara tersebut.
Dhan Illiani berkarya menerusi olahan seni bertujuan untuk menyelami dan merangsang respons masyarakat, memaparkan dilema dan pertimbangan etika dalam tujuh sisi ‘NIYAT’ yang disulam dalam naratif visual yang berbeza bagi setiap pengunjung.
Istilah ‘NIYAT’ diambil daripada perkataan Melayu ‘Niat’ dan perkataan Arab ‘Niyyah,’ kedua-duanya berkongsi makna tersurat dan tersirat. Ia juga berfungsi sebagai gelaran untuk pengkarya Dhan Illiani.
Pameran Hanya Satu ke-6: ‘NIYAT’ oleh Dhan Illiani akan berlangsung sehingga 19 Februari 2024. Rakyat am dijemput untuk meneroka dunia unik ‘NIYAT’ secara percuma di Balai Seni Negara. Jadi untuk anda yang mahu menyelami dunia seni Dhan Illiani, jangan lepaskan peluang ini!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.