Tentu ada segelintir kita pernah melakukan perbuatan membakar semut terutama semut api kerana dianggap mengganggu, menggigit dan dilihat memberikan ancaman kepada persekitaran rumah mereka. Tanpa menyedari bahawa perbuatan membakar semut dan sarangnya haram kerana kita sebenarnya tidak boleh mengazab binatang dengan api melainkan Allah yang mencipta api.
Menurut Ustaz Azhar Idrus di page FBnya, menjawap pertanyaan dari pembaca apakah hukumnya membakar sarang semut. Jika kita pernah melakukannya suatu ketika dahulu mintalah ampun dan bertaubat kepada Allah atas kekhilafan kita dan tak akan mengulanginya lagi.
Baca penjelasan Ustaz Azhar Idrus mengenai hukum bakar sarang semut dan binatang ciptaan Allah taala ini.
SOALAN : Adakah bolih kita binasakan semut yang banyak di rumah kita dengan cara membakar sarangnya dengan semut sekali gus?
JAWAPAN : Haram hukumnya membunuh semut atau haiwan yang lain dengan api atau membakarnya.
Rasulullah saw bersabda :
لَا يُعَذِّبُ بِالنَّارِ إِلَّا رَبُّ النَّارِ
Artinya :
“Tidak harus mengazab dengan api melainkan Tuhan yang mencipta api.’ (Hadith Abu Daud)
Dan sabda Rasulullah saw :
لاَ تُعَذِّبُوا بِعَذَابِ اللَّهِ
Artinya :
“Jangan kamu sekelian mengazab dengan azab Allah.” (Hadith Bukhari)
Berkata Mufti Oman :
فديننا الإسلامي نهى حتى عن حرق الحيوانات والحشرات بالنار، وأمر بالرفق في الحيوان فضلاً عن الإنسان
Artinya :
“Maka agama kita Islam melarang dari membakar segala haiwan dan serangga dan yang merayap dengan api. Islam memerintahkan supaya berlemah lembut pada haiwan istimewa pula dengan segala manusia.”
Wallahua’lam