Catatan ‘undur diri’ di akaun Instagram salah seorang peserta Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 menimbulkan tanda tanya pada hari ini.
Aween Ismail, 20, merupakan antara peserta yang menonjol sepanjang tayangan 3 episod program Dewi Remaja. Namun, status yang dimuat naik olehnya melalui Insta Story hari ini melihatkan dirinya perlu menjalani pembedahan.
Apa yang terjadi sebenarnya?
“Kesihatan Aween mula terganggu sejak hujung minggu lepas, sewaktu Aween terlibat dengan penggambaran Dewi Remaja. Pada mulanya, badan rasa tak sedap seperti ingin demam panas. Selepas berehat, ia tak juga reda-reda apabila Aween mula menggigil dan merasa sejuk. Ada juga rasa loya dan nak muntah.
“Aween rasakan ini bukan demam biasa-biasa dan paksa diri pergi mendapatkan rawatan pada hari Sabtu. Doktor di klinik terus merujuk kepada hospital terdekat. Aween ditahan di wad dan disahkan apendiks tahap awal.
“Mahu atau tidak, Aween perlu jalani juga prosedur pembedahan membuang apendiks,” kata peserta yang berasal dari Kelantan tetapi menetap di Rawang itu.
Alhamdulillah, pembedahan berjalan lancar dan dirinya kini berada dalam keadaan stabil di bawah penjagaan keluarga serta doktor. Namun, disebabkan kondisi tersebut, Aween tidak mampu untuk meneruskan perjalanannya di dalam Pencarian Dewi Remaja 2018/2019 sementelah dirinya perlu menjalani proses recovery sepanjang sesi penggambaran episod minggu ini dan minggu-minggu yang mendatang.
“Aween percaya rezeki Allah itu luas dan semua ini sudah tercatat dalam buku hidup. Sedih itu tentulah ada kerana dalam masa dua bulan saja, Aween dapat kenali 11 orang finalis lain.
“Banyak perkara yang Aween pelajari setiap kali task baru diberi. Tetapi paling utama adalah Aween belajar erti berkawan dan bekerjasama.
“Susah senang, kami 12 orang akan selalu bersama,” katanya yang juga berkhidmat sebagai seorang konsultan kecantikan.
So, what is next for Aween?
“InsyaAllah, Aween fokus pada diri sendiri dahulu supaya dapat sihat sepenuhnya. Kemudian barulah Aween akan aktif untuk cuba menempah tempat di dalam industri.”
Bagi pihak produksi pula, produser Salina Suhaimi menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang mengejutkan tetapi mereka bersedia untuk berhadapan dengannya.
“Kesihatan finalis menjadi keutamaan kami. Selepas disahkan Aween perlu menjalani rawatan dan berehat atas nasihat doktor, kami lakukan perbincangan tertutup bersama peserta dan keluarganya. Keputusan untuk berundur ini dilakukan atas faktor kesihatannya walaupun kami turut merasa terkilan,” kata beliau.
Editor REMAJA iaitu FZ Aimman yang mewakili pihak penganjur pula merasakan perjalanan Aween sebagai pelapis industri tidak akan terhenti di sini walaupun perlu berundur diri. “Dia merupakan antara peserta yang sedari awal sudah menyerlahkan potensi melalui Dewi Remaja.
“Berbekalkan bakat, personaliti mudah mesra dan semangat tinggi, Aween juga merupakan antara yang konsisten. InsyaAllah, dia mampu pergi jauh dengan usaha berterusan.”
Syafakallah kami ucapkan kepada Aween Ismail. Bagi penyokong Aween, jangan lupa menonton beberapa lagi buah episod Dewi Remaja 2018/2019 yang melibatkannya okay!
Nanti episod keempat pada Ahad ini (16 Disember) jam 10.30 malam di saluran Astro RIA (104) dan RIA HD (123). Kemudian, ikuti LIVE Instagram dan Facebook di akaun @majalahremaja pada jam 11.30 malam.