Muntahkan Lava Sebanyak Lima Kali, Gunung Merapi Di Yogyakarta Kembali Aktif

Share

Syukur bumi Malaysia tiada gunung berapi. Dalam kita menghadapi pandemik COVID-19, negara jiran ditimpa dugaan dengan letusan gunung berapi yang bahaya.

Jika sebelum ini, berita tentang gunung Etna di Sicily, Itali meletus sekali lagi semalam. Terbaru, gunung berapi di sempadan Yogyakarta dan wilayah Jawa Tengah mengeluarkan lava sebanyak lima kali dengan jarak luncuran maksimum 800 meter ke barat daya.

Ketua Pusat Penyelidikan Bencana Geologi dan Pembangunan Teknologi (BPPTKG), Hanik Humaida mengatakan bahawa sepanjang tempoh pemerhatian, Gunung Merapi juga mengalami 25 longsoran gempa dengan ampitud 3 hingga 18 MM dan selama 8 hingga 78 saat.

Malah, letusan gunung berapi boleh berlaku sehingga radius tiga kilometer dari puncak Gunung Merapi. Penduduk juga diingatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berpotensi bahaya dan sentiasa berjaga-jaga semasa hujan di sekitar Gunung Merapi.

Untuk info, Gunung Merapi sering meletus sejak sedekad yang lalu dan pada tahun 2010, ANTARA melaporkan letusan gunung berkenaan meragut sehingga 300 nyawa.

Pada 21 Jun lalu, gunung berapi setinggi 2,930 meter, yang terletak di sempadan daerah Sleman, Yogyakarta dan wilayah Jawa Tengah, meletus dua kali dengan memuntahkan debu setinggi 6,000 meter.

Sumber: liputan6

 

Published by
Nana