Soal gadis Muslimah dan keputusan mereka untuk berhijab di luar negara tidak pernah terpisah dengan pelbagai halangan serta tentangan daripada sesetengah pihak.
Jika dahulunya kita dengari kisah pelajar sekolah Perancis yang dipaksa menanggalkan hijabnya ketika berada di dalam kelas darjah, kali ini isu seakan sama dihadapi oleh pelajar remaja di India pula.
Khabarnya isu berhijab kini ‘panas’ dilaporkan oleh media India dek larangan pemakaiannya di sekolah dan kolej sehinggakan beberapa protes jalanan tercetus bagi menuntut hak berpakaian mereka mengikut kepercayaan agama.
ARTIKEL BERKIATAN : Shatu Garko Cipta Sejarah Sebagai Gadis Berhijab Pertama Menang Gelaran Miss Nigeria
Tumpuan media India kini terarah kepada seorang gadis remaja hijabi yang telah lantang dan berani berani menyuarakan hak wanita Islam dan berharap agar masyarakat di India menghormati serta mempertahankan hak tersebut.
Gadis yang dikenali sebagai Muskan Khan itu dipuji kerana berani menentang biarpun dia tahu akan kemungkinan berhadapan ancaman dan gangguan sekumpulan lelaki di luar kolejnya ketika protes semakin memuncak.
Dalam video yang tular pada hari Selasa (8 Februari 2022) itu, Muskan Khan memarkir skuter miliknya di luar bangunan Fakulti PES College of Arts, Science & Commerce di Mandya.
Secara tiba-tiba, dia diserbu sekumpulan lelaki yang melaungkan slogan anti-keagamaan terhadapnya hanya disebabkan pemakaian memakai hijab.
Muskan Khan dengan berani mengangkat tangan dan melaungkan ‘Allahu Akbar’ (Allah Maha Besar) terhadap kumpulan lelaki terbabit yang memakai skaf safron.
Katanya kepada wartawan beberapa hari kemudian, dia tidak melaungkan ‘Allahu Akhbar’ untuk menakutkan atau mencerca sekumpulan lelaki yang terlebih dahulu melaungkan kalimah ‘Jai Shri Ram’ (yang bermaksud Glory to Lord Rama) kepadanya. Sebaliknya, Muskan hanya ingin memberikan dirinya kekuatan sewaktu dia berdepan situasi tersebut.
“Saya tidak takut walaupun seorang diri berdepan dengan mereka dan akan terus memperjuangkan hak memakai hijab,” katanya.
Sebaik video tersebut tular, kumpulan lelaki yang menganggunya itu telah dikecam secara maya kerana menjadikan seorang gadis sebagai sasaran.
Menurutnya, cara berpakaian tidak pernah menjadi isu bagi pihak kolej. Hanya orang luar sahaja yang mengapi-apikannya sehingga bertukar menjadi isu kontroversi di negeri yang ditadbir parti kerjayaan Perdana Menteri Narendra Modi iaitu parti Bharatiya Janata (BJP).
Minggu lalu, sekumpulan sayap kanan Hindu di Indian telah berhimpun dan menghalang pelajar beragama Islam yang bertudung memasuki institusi pendidikan sehingga mencetuskan ketegangan antara kaum.
Negeri Karnataka di selatan India pula serta-merta menutup semua sekolah tinggi dan kolej selepas tercetus ketegangan apabila seorang gadis berhijab datang ke kelas. Suasana tegang itu berlarutan selama beberapa hari selepas beberapa sekolah di daerah pesisir pantai Udupi melarang pelajarnya untuk ke sekolah dalam keadaan berhijab.
Terdahulu pada Disember 2021, enam orang pelajar Government Pre-University College for Girls yang terletak di Udapi, India telah dihalang (barred) daripada menghadiri kelas dengan memakai hijab. Beberapa kolej lain dilaporkan menggekori tindakan kolej itu dengan turut menghalang hijabi menyertai kelas. Manakala sebilangan pelajar Hindu pula dilihat telah memakai selendang berwarna safron sebagai tanda protes.
Seperti Muskan Khan, enam gadis remaja itu telah menghantarkan protes kepada pihak berkuasa di Karnataka dengan berkata hak mereka telah dicerobohi. 10 Februari lalu, mahkamah malangnya berkata para pelajar tidak seharusnya berpakaiaan mengikut agama sehinggalah keputusan kes ini ditentukan.
*
Kes Muskan Khan ini juga telah mendapat perhatian Duta Besar Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa, Rashad Hussain,. Beliau telah melahirkan kebimbangan mengenai kontroversi larangan pemakaian tudung di sekolah dan kolej di selatan India, Karnataka.
Lapor Al-Jazeera, Rashid menerusi akaun Twitter Jumaat lalu telah menegaskan bahawa larangan bertudung hanya mendatangkan stigma terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan Islam dan membuatkan mereka merasa terpinggir.
“Kebebasan beragama adalah hak seseorang, mereka seharusnya bebas ketika memilih pakaian mengikut kepercayaan dan tuntutan agama masing-masing.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.