Bila sebut wayang kulit kita pastinya akan terus terbayang budaya yang cukup unik sangat popular di negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan Darul Naim. Sehingga kini ia dianggap sebagai salah satu khazanah budaya negara yang tidak ternilai harganya.
Sebagai usaha untuk terus memperkasakan budaya yang tidak lekang dek hujan dan tidak lapuk dek panas ini sebuah karya moden yang digabungkan dengan wayang kulit telah diketengahkan oleh Warner Music Malaysia. Dan menurut kenyataan media daripada mereka pengenalan muzik video istimewa Ed Sheeran ini juga merupakan sebagai satu tribute kepada sambutan Hari Malaysia.
Menampilkan muzik video istimewa lagu daripada Ed Sheeran yang bertajuk ‘Happier’, Warner Music Malaysia berkerjasama dengan pembikin wayang kulit, TinToy Chua dari Fusion Wayang Kulit.
TinToy merupakan penggiat dan pejuang keseniaan wayang kulit yang bukanlah asing lagi terutamanya dalam bidang penggabungan karya tradisi dan elemen budaya moden. Malah sebelum ini dia yang juga pengasas Fusion Wayang Kulit pernah menghasilkan wayang kulit versi Star Wars.
ARTIKEL BERKAITAN: [KUIZ] Ahli BLACKPINK Yang Manakah Kamu?
Untuk muzik video eksklusif Ed Sheeran versi wayang kulit ini menyaksikan watak Ed Sheeran yang menerusi versi asalnya dalam bentuk puppet diganti dengan versi patung wayang kulit.
Muzik video keluaran Warner Music Malaysia ini masih mengikut jalan cerita yang asal dan menggunakan babak-babak yang lebih kurang sama. Karakter balloon girl dan ‘musuhnya’ iaitu teddy masih dikekalkan. Antara elemen tempatan yang diselit dalam muzik video ini ialah roti canai dan pemandangan sekitar Bangsar yang pastinya sangat familiar.
Awesome! Tahniah Warner Music Malaysia dan Fusion Wayang Kulit. Diharapkan projek seperti ini akan diteruskan sekaligus mampu memartabatkan seni budaya serta khazanah negara ke peringkat lebih tinggi.
“Pelajar Bermasalah Di Sekolah, Itu Bukanlah Ujian Paling Besar”, Guru Kaunseling Beri Ingatan..
Kes pelajar berusia 14 tahun yang mengambil keputusan menggantung dirinya selepas tertekan dituduh mencuri telefon bimbit iPhone 6 milik gurunya mendapat perhatian ramai pihak.
Buktinya, dalam ruangan catatan fbnya, Aziz Yatim yang juga terlibat dalam dunia perguruan menulis sesuatu yang boleh difikirkan bersama.
Menurutnya, pelajar bermasalah di sekolah, itu bukanlah ujian paling besar. Allah sedang memerhati dan menguji hambanya. Semoga perkongsian darinya memberikan manfaat buat semua pihak.
Baca catatan beliau di laman fbnya.
Membaca respon-respon anak didik saya dalam posting saya semalam membuatkan saya sedih. Dalam kelas selalu saya pesan pada mereka untuk jaga dan bela pelajar yang teraniaya, pelajar nakal, pelajar yang kurang bernasib baik seperti miskin, keluarga bercerai, ibubapa yang tiada upaya dan berbagai lagi.
Saya pasti ramai antara pelajar saya yang `pegang’ apa yang saya pesan hingga membawa masalah kepada mereka. Maafkan saya. Kalian melakukan perkara itu dan kalian dapat cemuhan dari guru.
Tapi ingatlah Allah sedang memerhati. Jadilah orang dalam golongan yang sedikit kerana itulah golongan yang Allah sayang. Jika nak kerja mudah dan diterima ramai, jika cikgu memaki pelajar maka makilah mereka sama dan anda akan diterima oleh golongan guru seperti itu.
Jika pelajar dibuang maka tepuk tangan dan katakan kepada mereka memang padan muka awak dibuang.. guru seperti ini memang ada dan mereka kadang kala memberi masalah kepada profession perguruan keseluruhannya.
Seperti kes iphone6 itu, mungkin kaunselornya ingin membuat intervensi untuk menyelamatkan guru yang melakukan interogasi itu tetapi mungkin pengalaman yang lampau akan dipandang sebagai `pengganggu’ dan akan dikatakan semua dan memberi muka kepada pelajar.
Akan dituduh membela pelajar yang mencuri iphone6nya dan lain-lain lagi. Sedangkan usaha itu mungkin akan menyelamatkan anak itu dan guru itu sendiri.
Saya telah melaluinya dahulu dan memang menjadi kecaman setengah daripada rakan guru kerana dikatakan memihak kepada pelajar. Pelajar dituduh dengan berbagai tuduhan dan dipaksa mengaku. Hanya air mata yang dapat menemani pelajar seperti ini dalam bilik kaunseling.
Kadang-kala memang di luar kemampuan untuk menegakkan keadilan. Nantilah saya akan tulis dalam posting akan datang. Kesan diviral masih menghantui. Apapun ujian yang Allah berikan kepada kita masih kecil.
Ujian Allah menjadikan manusia bermasalah di sekolah kita bukanlah masalah besar sangat.. masalah murid yang tidak bertudung, berpakaian ketat sendat tak percaya pada agama, tak tahu mengaji dan sebagainya tidak perlu kita salahkan orang lain.
Bila kita jumpa masalah itu tidak perlu menuding kepada kedua ibubapa mereka. Fahamlah bahawa Allah sedang menguji kita. Adakah kita menyisihkan pelajar itu atau kita menghampiri dengan kasih sayang Allah dalam membentuk pelajar itu semula.
Adakah salah Allah menduga kita dengan masalah pelajar? atau anda nakkan semua sekolah bebas masalah tanpa anda lakukan sesuatu? Kalau begitu hebatnya kita. Guru-guru nakkan kita apabila bercakap dan nasihat semua pelajar akan jadi baik..
Allahu.. nabi dan rasul terdahulupun tak mampu berbuat demikian kan?? Ingat ketat-ketat.. kita akan ditanya apabila kita terjumpa masalah dan kita diamkan tanpa lakukan sesuatu. Tapi bila kita lakukan sesuatu seperti buat kursus kita akan diberikan dugaan lain oleh Allah.
Kita akan diherdik dicemuh mengatakan kursus dan program kita tidak berkesan hanya membuang duit sahaja. Kursus yang kita buat akan jadi topik hangat dalam mesyuarat guru kerana dikatakan gagal. Semua mata akan memandang kepada anda.
Rasa diri dihina sangat.. Anda pernah kena ke seperti yang saya tuliskan ini? Maka kita geng.. kalau tak tahan bersedialah untuk berhijrah.. siapkan kapal.. Ingat pesanan saya?
Saya bagi anda tempoh tertentu dan jika tidak kuat jangan perjudikan kesihatan anda. Atau anda dah bertekad untuk hidup dan mati dalam perjuangan ini? Anda bersedia untuk mati dalam memperjuangkan manusia dalam bidang ini? Sesungguhnya anda sedang berjihad ke jalan Allah. Wallahualam.
Kepercayaan Terus Diberi Kepada Jovian Mandagie, Kali Ini Bersama Pengeluar Pakaian Dalam
Umum mengetahui pereka fesyen Malaysia, Dato’ Jovian Mandagie pada akhir tahun 2021 telah dilantik sebagai Pengarah Kreatif Cheetah Malaysia. Justeru sebagai pembukaan kepada koleksi yang dihasilkan oleh beliau dan pasukan Cheetah, sebuah pertunjukan fesyen berskala mega telahpun dilangsungkan pada bulan Mac lalu melibatkan sebuah gelanggang tenis yang dibina khas sebagai ‘comeback’ Cheetah di pentas peragaan Malaysia.
Kini, satu lagi bentuk penghargaan telah diserahkan kepada Jovian. Beliau telahpun dilantik sebagai Naib Pengerusi Eksekutif baharu pengeluar pakaian dalam, Caely Holdings dan perlantikan tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan Jovian ini dibuat seminggu selepas beliau melancarkan cawangan keempat Jovian Selcare Pharmacy yang merupakan usaha sama antara Jovian Pharma Sdn Bhd dan Selcare Pharmacy di Kompleks PKNS Shah Alam.
Selain perlantikan Jovian, Caely Holdings turut mengumumkan pelantikan peguam Sandraruben Neelamagham Sandraruben (felo di The Chartered Institute of Arbitrators atau CIArb serta Malaysia Institute of Arbitrators atau MIArb) sebagai Pengarah bebas baharunya; juga pada hari ini.
Murah rezeki menantu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ini kan.
Untuk pengetahuan korang, Jovian turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di HEYHO Sdn Bhd yang menghasilkan pelbagai hidangan sedia untuk dimakan dan Dapur Mandagie.
BACA LAGI : Persalinan Khas Jovian Mandagie Buat Ibu Mertuanya Curi Tumpuan – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Untung Duduk Malaysia? Tulisan Lelaki Ini Beri Reaksi Berbeza, Ada Sifatkan “The Highest Level Of Sarcasm”
Perkongsian seorang penulis, Khairul Abdullah mengenai perbezaan tinggal di Malaysia dan Jerman yang pernah dilaluinya membuatkan penulisan beliau menjadi tular dan mendapat reaksi ramai. Hebatnya ia mendapat 1.5k syer.
Gaya penulisannya yang mempunyai maksud mendalam mampu membuat kita berfikir akan maksud yang ingin beliau kongsikan. Penulisannya mengenai betapa beruntungnya penduduk di Malaysia yang mana segalanya boleh dibuat membuatkan sesetengah netizen memberikan pelbagai reaksi berbeza. Ada sampai menyifatkan ia sebagai The Highest Level Of Sarcasm.
Bacalah penulisan dikongsikannya. Jika ada benda baik, ambillah sebagai iktibar.
Dulu saya tinggal di Jerman hampir 4 tahun. Adalah sedikit sebanyak pengalaman.
Jom saya ceritakan mengapa orang yang tinggal di Malaysia lebih untung dari orang di Jerman. Saya akan senaraikan 10 perkara penting yang dinikmati oleh rakyat Malaysia dan memang orang Jerman tak boleh lawan.
- Membeli Belah
Orang di Jerman boleh membeli belah hanya 6 hari seminggu dan cuma setakat jam 8 malam sahaja. Lepas 8 malam kedai dan shopping complex semua dah tutup. Dah le 7 eleven pun takde kat tempat saya tu, jadi kalau emergency nak beli apa tengah-tengah malam maka simpan sahaja lah niat tu.
Tunggu lah kedai buka esok pagi yer. Itu pun kalau pagi esoknya tu hari Sabtu, kalau hari Ahad maka kena redhalah dan tunggu hari Isnin sebab hari Ahad semua kedai dan shopping complex tutup. Jadi terpaksalah orang Jerman menghabiskan cuti hari Ahad bersama keluarga dan anak-anak dengan pergi berkelah atau bermain di taman. Kesian kan diaorang tak boleh pergi shopping.
Kalau di Malaysia, boleh shopping 7 hari seminggu sampai jam 10 malam, kadang-kadang ada shopping complex atau supermarket bukak sampai jam 11 malam.Kalau taknak membeli belah pun boleh habiskan masa yang banyak tu dengan berjalan-jalan atau lepak layan facebook guna wifi free.
Kalau nak beli barang jam 2 pagi boleh pergi 7 eleven atau banyak lagi kedai yang bukak 24jam. Atau pergi Uptown kalau teringat nak beli kasut jam 3 pagi. Jadi dengan membeli belah 7 hari seminggu maka kita rakyat Malaysia merancakkan ekonomi negara.
Jadi, untunglah orang Malaysia boleh shopping 24 jam dan negara bertambah maju. Orang Jerman pula peluk anak dan bini dan tidur memendam rasalah jawabnya. Malaysia skor 1-0 kat sini.
- Makan Minum
Di Malaysia nak makan apa semua ada. Restoran bukak 24 jam, kalau lapar jam 3.48 pagi pun boleh start kereta atau motor dan menderum ke mamak. Kalau malas nak keluar boleh telefon dan order sahaja. Boleh makan 5-7 kali sehari bermula selepas subuh sehinggalah ke subuh keesokan harinya.
Kalau tak nak masak di rumah pun tak apa sebab 365 hari setahun 24 jam sehari kita boleh dapat makan di mana-mana sahaja. Restoran makanan segera pun banyak, boleh beli fries dan coke kemudian duduk 6 jam sambil guna wifi free. Lepas dah habis boleh terus blah saja. Balik rumah terus boleh tidur sebab perut dah kenyang. Alhamdulillah, kita semua sihat dan cukup makan.
Di Jerman pula, kalau dah makan fries tu dah habis kena lap meja sendiri, kena susun kerusi sendiri dan kena buang sampah dan tray ke tempat yang disediakan. Dah ler bayar duit, kena kemas sendiri pulak. Apa ke hal. Restoran pula biasanya tutup pukul 10 malam. Kafe dan bar tutup sekitar 12malam dan kalau malam minggu diorang lajak sampai kul 1 atau 2 pagi. Itu pun takde makanan dah, setakat nak minum kopi boleh lah.
Hari Ahad semua shopping complex tutup, restoran dan kafe pun separuh jer yang bukak, kadang-kadang dah muak makan di tempat yang sama, akhirnya balik rumah makan salad dan roti sahaja. Nak tidur pun awal lagi maka masing-masing pergi ke gym ataupun berjogging sekitar taman. Itu sebab lah orang Jerman kurus-kurus gamaknya. Tak berapa cukup makan.
Untunglah orang Malaysia, makan mewah. Malaysia mendahului dengan 2-0.
- Anak-anak.
Kanak-kanak di Malaysia sangat beruntung sebab boleh tidur lambat. Pukul 9-10 malam boleh ikut mak bapak pergi shopping lagi. Boleh lepak-lepak kedai mamak atau gi tengok midnite cerita Transformers. Balik rumah jam 12 malam atau 1 pagi dan tidur kemudian esok bangun lambat takde hal punya. Setiap anak-anak sekarang ada gajet masing-masing. Semua pakat ada smartphone ataupun ipad atau tab atau apa saja yang canggih-canggih tu.
Maka anak2 boleh main ipad atau tab sambil breakfast kat kedai mamak dan mak bapak boleh layan facebook tanpa gangguan. Kalau ada orang nak salam, anak tadi ada skill hulur tangan sebelah saja sambil mata dan tangan sebelah lagi main ipad tu. Itu merupakan skill koordinasi yang bagus.
Kanak-kanak di Jerman pula malang sekali. Jam 8-9 malam semua dah kena tidur. Takde chance nak gi tengok midnite cerita Transformers. Kalau nak jugak maka kena tunggu pagi Sabtu maka barulah mak bapak bawak pergi tengok. Itu pun kalau cerita tu di label 12PG. Kalau tak memang melepaslah.
Kalau bawak anak-anak gi makan atau minum kat restoran jam 9 malam memang kena jeling lah sebab memang takde budak2 lain kat dalam tu..awak sorang jer. Silap-silap mau kena tegur dengan makcik-makcik yang bermulut becok marahkan anda sebab bawak budak jalan malam-malam.
Lepas tu jangan harap lah nak berkepit dengan ipad atau tab atau phone dan sebagainya dan lepak kat kafe atau restoran atau di mana-mana kawasan public terutama ketika di meja makan. Biadap katanya kalau main benda alah tu kat meja makan, kena bersembang, kena jawab soalan pasal sekolah lah pasal itu lah pasal ini lah, memang takde chance lah nak main ipad bagai. Ada setengah tu umur dah 6-7 tahun, ipad pun tak pernah pegang. Kesiannnn.
Untunglah kanak-kanak di Malaysia. Malaysia terus mendahului dengan 3-0.
- Pra-Persekolahan
Kanak-kanak di Malaysia sudah bijak pandai sekitar usia 4-6 tahun sebelum masuk sekolah lagi. Semua dah pandai membaca, mengira, menyelesaikan permasalahan matematik, menjawab pelbagai persoalan sains dan macam-macam lagi. Bila masuk darjah satu semua dah pandai. Ibu bapa kat rumah dah kurang beban mengajar sebab kat tadika semuanya dah diajar. Untunglah mak bapak semua sebab anak dah pandai, dan ada yang boleh speaking dah.
Di Jerman jangan kata speaking, dengar perkataan english pun belum tentu. Dah le rancangan tv semua dalam bahasa Jerman, kartun Spongebob pun dalam bahasa Jerman, macamana nak dengar perkataan English nyer kan? Mak bapak dah sah-sah berbahasa Jerman walaupun diorang tahu bahasa inggeris.
Lepas tu di tadika belajar mengenal huruf, membaca dan mengira tu pun sikit sikit sahaja. Kalau yang boleh membaca dan mengira tu memang kira pandailah. Pegi tadika hari-hari main sahaja. Dah penat main, belajar hormat orang, belajar mendengar, belajar bercakap, belajar berdiam bila orang bercakap, belajar hormat orang yang lebih tua, belajar melintas jalan, belajar buang sampah, belajar kemas meja dan basuh pinggan mangkuk selepas makan dan pelbagai pelajaran sivik lain yang sungguh membosankan. Patutlah sampai dah besar panjang tak reti speaking English lagi. Hmmmm.
Nampak tak? Betapa untungnya kanak-kanak di Malaysia. Kita tambah skor lagi menjadi 4-0.
- Memandu
Di Malaysia, hampir semua pemandu mempunyai deria ke-6 atau 6th sense. Ini kerana pemandu tak perlu bagi signal ketika membelok kerana kita tahu pemandu lain akan tahu atau kompom tahu yang kita akan membelok. Selain itu kalau nak cepat kita drive ikut emergency lane, kalau tak masuk situ rugilah lane tu besar dan membazir kalau tak digunakan.
Nak potong que pun takde masalah sebab semua pemandu kita bertimbang rasa dan membenarkan kita potong que (kita tahu melalui deria ke-6 tadi yang pemandu lain tidak akan marah). Lepas tu lampu merah kita tak perlu berhenti, cuma perlu tengok-tengok sahaja kot-kot ada kereta lain, atau dengan gunakan deria ke-6 tadi dan kita pecut sahaja.
Pasal kadar kemalangan maut tu tak payah lah kita kira kan? Itu kan dah takdir dan ketentuan, kalau dah memang ajalnya mati eksiden, kita nak buat macamana kan? Kalau kita pakai seatbelt pun tapi kalau takdir nak mati, maka mati jugak kan?
Di Jerman, jangan harap nak jalan kalau lampu merah. Kalau langgar jugak maka anda kira alien lah sebab anda sorang jer yang buat. Lepas tu orang Jerman takde 6th sense macam orang Malaysia, maka semua orang bagi signal.
Kalau jem maka semua terkedek-kedek jer, nak mencilok memang diaorang tak pandai langsung sebab kat sekolah memandu tak ajar semua tu. Kalau naik motor pun que jugak, apa ke pekdahnya naik motor tapi tak reti cilok dan que kat jem macam kereta? Bangang jugak orang Jerman ni. Diorang tak tau nak menggunapakai deria ke 6 tadi sebab tak pernah berlatih menggunakannya.
Kat Jerman pun ada kemalangan maut jugak, takde ler hari-hari. Jarang sangat dengar pasal mati eksiden ni. Mungkin sebab diorang tak pandai mencilok dan takde deria ke-6 tu gamaknya yang buat kurang eksiden. Tak thrill lah orang Jerman ni.
Nampak tak perbezaan yang ketara tu? Kalau anda duduk di Jerman memang hilanglah segala 6th sense atau deria ke-6 anda tadi. Sungguh saya tak tipu. Memang rugi duduk Jerman sebab dah hilang satu deria.
Oleh itu, Malaysia menang lagi 5-0
- Remaja
Menjadi remaja di Malaysia jauh lebih best berbanding Jerman. Kalau tak nak belajar boleh berhenti sekolah dan mak bapak boleh belikan motor sorang satu. Dah ada motor boleh lah merempit. Merempit ni untung sebab boleh dapat awek.
Malam minggu boleh ramai-ramai berkumpul di tepi highway atau dekat plaza tol Puchong tu. Disebabkan ramai maka kereta tak berani nak langgar diorang semua. Lepas tu pakat-pakat race, dapat duit, dapat awek. Kalau yang tak berani race boleh tunjuk skill buat willy ke wikang ke (eh betul ke saya eja tu?). Nanti ada awek tengok sure berkenan di hati dan terus boleh dapat.
Selain itu lagi untung jadi remaja ni, kalau malas macamana pun makan tetap ada, rumah tetap ada sebab mak bapak tanggung. Lepas tu boleh pakai handphone mahal-mahal. Boleh tackle awek kalau handphone canggih lepas tu boleh wechat, tukar-tukar gambar dan pakai bahasa rahsia yang orang lain tak faham seperti “aq xrse kt kn d2q sme stu smp tth woe x2 kke2 kaüf sjs” yang entah apa orang lain susah nak decrypt.
Remaja di Jerman ni, sejak kalah perang dunia ke 2 memang dah tak pakai bahasa atau tulisan rahsia yang nak kena belajar 3 tahun untuk paham. Jadi skill diorang dah memang lemah sangat dah sejak kalah perang. Nak merempit? jauh sekali lah. Motor honda cup pun tak ada, apatah lagi Yamaha LC Demak.
Mak bapak diorang pun jarang yang ada kereta, apatah lagi nak beli motor kat anak-anak, memang tak lah. Kalau nak merempit maka kena lah belajar racing, jadi professional kemudian barulah boleh tackle awek. Tu sebab orang macam Michael Schumacher, Sebastian Vettel, Nico Rosberg tu dah tua baru ada awek.
Bagi yang tak nak jadi racer maka kena tunggu dewasa dulu lah dah ada duit baru beli motor Ducatti atau BMW tu buat merempit time musim panas.
Rugi, sungguh rugi jadi remaja Jerman ni. Memang remaja Malaysia terutama mat rempit menang besar bab ni. Dah 6-0.
- Pengurusan Sampah.
Ada tak rakyat Malaysia yang asingkan 4-5 jenis sampah? Sampah bio (sisa makanan atau mudah reput) sampah plastik, botol plastik, botol kaca, kertas atau kotak dan sampah pembungkusan seperti kotak air, tin sardin dan sebagainya?
Ada? Penat dan leceh tau nak asing semua sampah tu. Dah ler kat dapur tu kena ada 3-4 biji tong sampah kalau nak asingkan semua. Kita sumbat jer dalam satu tong sampah besar, nanti pandai-pandai lah abang kerja kutip sampah tu asingkan kalau dia nak recycle. Kalau tak pun nanti bila sampai pusat pelupusan, ramai orang-orang yang kerjanya dok cari barang kat longgokan sampah tu.
Sekurang-kurangnya kita dapat membantu mereka mencari rezeki, betul tak?
Lepas tu kadangkala kita tak perlu tong sampah pun, sambil pandu kereta makan rambutan boleh terus baling keluar tingkap jer kulitnya. Kalau makan kuaci kat hospital sambil tunggu isteri bersalin pun boleh jer buang atas lantai tu, nanti ada makcik cleaner tolong sapukan.
Kalau kita tak buat sampah, nanti ramai orang hilang kerja pulak kan? Kesian makcik cleaner tu takde kerja.
Kat Jerman, semuanya nak kena asingkan. Leceh betul, kalau tak asingkan nanti abang angkut sampah tu tengok dia tak ambil, dia buat bodo jer. Jadi nak tak nak kena lah, kalau tak busuk pulak rumah nanti. Sisa makanan seperti tin sardin, kotak air semua nak kena bilas dulu kemudian baru boleh buang, botol kaca hijau lain tong, botol kaca coklat lain tong, botol kaca putih lain tong.
Naik menyampah lah. Kalau ada sampah kecil, nak buang rasa bersalah pulak sebab orang tak buang jadi simpan lah dalam poket dan bawak balik rumah.
Nampak tak betapa tersiksanya menguruskan sampah harian di Jerman? Nak tengok lipas pun tak ada, susahlah saya nak tunjuk kat anak macamana rupa lipas yang sebenar.
Kat Malaysia jugak yang best. Anak-anak dapat tengok secara live macamana rupa lipas, lalat, tikus mondok, tikus cencorot dan juga burung gagak. Kat Jerman jangan harap lah.
Maka kita bagi lagi satu skor untuk Malaysia. Kini sudah 7-0. Takde balasan nampaknya dari Jerman.
- Waktu Bekerja
Ini bab paling best. Orang Jerman memang tak pandai berhenti atau break time kerja ni. Bukannya tak ada langsung tapi ada lah beberapa orang officemate yang bijak, yang lain tu agak sendu sikit lah. Masuk opis jer terus kerja dan kerja. Facebook pun diorang tak berani bukak tau.
Kalau dahaga maka minumlah kopi bekal tu, takpun kalau nasib baik ada pantry kat opis boleh buat air free. Takde lah nak break minum kopi atau ngeteh jam 10 pagi atau jam 4 petang. Time lunch pukul 1 semua pegi lunch dan pukul 2 semua dah ada depan komputer masing-masing. Kalau yang kaki rokok maka berkejaran turun ke bawah hisap rokok sepantas kilat dan lari balik ke opis sambung kerja.
Pukul 5 semua terus balik sebab kerja dah siap, takde lah overtime dari boss. Balik rumah terus luangkan masa dengan keluarga atau pergi bersukan pulak.
Kita untung lah, masuk kerja punch-in lepas tu dapat pegi brekfast dulu. Lepas tu kul 9.30 ke 10 ke baru masuk opis. Duduk depan komputer bukak facebook dulu ye tak, nak update apa yang patut pastu baru start buat kerja.
Pastu pegi lunch pukul 1, masuk balik ikut sedap lah, pukul 2.30 masih ok lagi. Nanti pukul 3.30 ke 4.00 ke boleh pegi minum petang pulak dan masuk balik sebelum pukul 5 dan duduk update facebook dulu. Dah pukul 5 atau 5.30 boleh balik dah. Kalau yang nak overtime sebab kerja tak siap sebab main facebook bolehlah sambung overtime.
Kalau tak siap jugak kita buat overtime lusa pulak. Untunglah hari-hari dapat buat overtime, masyukkkk.
Jadi, nak kerja di Jerman? Tak payahlah, tak fleksible, takde overtime. Di Malaysia paling best. Kita skor lagi 8-0.
- Temujanji Perkhidmatan
Untuk mendapatkan apa jua perkhidmatan di Malaysia, kita boleh terus saja pergi ke tempat yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Nak servis kereta, maka pergi lah ke bengkel-bengkel berdekatan dan tunggulah. Kalau nak best sikit nak pergi ke Pusat Servis berjenama maka kena buat temujanji atau appointment.
Kat Malaysia kalau nak ke klinik maka terjah sahaja mana-mana klinik dan tunggulah. Kalau yang ada appointment kat klinik atau hospital jam 10 pagi, kita ada masa 2 jam untuk berehat sambil menunggu jam 12 tengahari sebelum nama kita dipanggil walaupun appointment jam 10 pagi. Sambil tunggu kita boleh main facebook, twitter, instagram dan sebagainya.
Masa 2 jam menunggu tu sangat berfaedah kan?
Kat Jerman ni merepek sungguh. Nak pergi klinik kena buat appoinment, diorang ingat sakit yang datang tu by appointment jugak kot. Kalau appointment pukul 10.00 pagi maka sampai saja dalam 10.10 pagi terus dapat jumpa doktor, tak sempat nak rilek-rilek atau main facebook dulu.
Nak pergi servis kereta kat bengkel-bengkel biasa pun nak kena buat appointment, pun sama tak sempat nak main facebook jugak. Nak tunggu orang datang pasang internet pun appointment, tapi lojik lah yang ni. Yang paling tak lojik nak kena appoinment dan tunggu orang datang baca meter api dan air.
Dah ler nak datang bagi bil, nak kena appointment jugak. Best tak? Sangat tak best kan? dah ler tak sempat main facebook.
Jadi Malaysia skor lagi di sini. Sudah 9-0.
- Kediaman
Nak beli rumah agak mahal samada di Malaysia ataupun Jerman, jadi kita cerita pasal rumah sewa lah.
Kat Malaysia, nak sewa sangat mudah kan? Carilah iklan kat mana-mana, kat internet ada, kat tiang letrik ada, kat seven eleven ada. Dah jumpa, telefon tuan rumah, buat appointment pegi tengok rumah. Kalau ok bayar deposit 2+1 dan pindah masuk.
Kadang-kadang takde agreement pun, main cakap mulut jer, kadang-kadang agreement satu mukasurat jer. Kalau taknak cari sendiri boleh suruh ejen carikan, lepastu tak payah bayar ejen, sebab tuan rumah yang akan bayarkan.
Kalau nak untung sewa satu rumah, lepas tu sewakan pulak bilik-bilik lain kat orang lain dan naikkan harga sikit. Sewa rumah boleh bayar dan siap dapat untung lagi. Kalau geng Bangla atau Myanmar ke boleh ler kongsi-kongsi sewa satu apartment kecil dan duduk 10 orang. Bayar sorang RM100 jer sebulan.
Natihjahnya, anda hidup harmoni dengan pelbagai bangsa dan budaya, ada bau kari, ada bau kucing panggang. Tompokan merah hasil ludahan air sirih pinang juga dapat menghiasi dinding koridor apartment kita.
Seni tu.
Kalau rasa dah boring atau nak pindah maka bagitau tuan rumah dan pindahlah keluar. Tak nak bagitau pun tak apa, boleh lari jer keluar. Tuan rumah bukan boleh buat apa pun. Kalau sakit hati dengan tuan rumah, boleh longgokkan jer sampah sarap yang ada tu kat ruang tamu.
Orang Jerman ni seksa sikit lah nak sewa rumah. Ada law atau undang-undang penyewaan yang nak kena ikut. Nak jimat kena lah cari sendiri sebab kalau pakai ejen, penyewa yang nak kena bayar kat ejen. Mahal nak mampus pulak tu.
Dah tu kalau berkenan kat rumah tu belum tentu boleh dapat lagi, kena ikut rules ditetapkan, kalau rumah tu ada 2 bilik dan muat untuk 3 orang sahaja maka hanya 3 orang dibenarkan duduk di dalam rumah tersebut. Kalau awak 4 orang, memang jangan haraplah.
Jerman menetapkan yang setiap orang haruslah mempuyai ruang sekitar 500 kaki persegi untuk tinggal di dalam sesebuah rumah. Kalau dalam agreement kata 2 orang saja tinggal di situ maka kena 2 orang sajalah. Kalau dalam agreement kata pukul 12 tengahari sampai 3 petang tak boleh bising maka kena duduk diam-diam. Kalau bising jugak nanti polis ketuk pintu.
Amboi polis Jerman ni tak ada kerja lain ke?
Kalaulah apartment kecil 650 kaki persegi, makanya seorang sahajalah boleh duduk di situ. Nak duduk 2 orang kena cari yang sekitar 900 kaki persegi. Sesetengah apartment kena interview dulu baru boleh masuk seperti yang saya kena. Macam-macam ditanyanya dan kalau tuan rumah puashati maka baru diberikan agreement 8-10 mukasurat untuk sign.
Kalau dalam agreement kata tak boleh ada budak, maka tak bolehlah, kalau tak boleh ada binatang peliharaan maka tak bolehlah. Natijahnya, sunyi sepi dan aman damailah kediaman anda. Tiada jiran bangla atau myanmar, tiada bau kari maupun bau kucing panggang serta tompok seni hasil air ludahan sirih pinang.
Kalau nak keluar dari rumah, maka anda kena pastikan rumah tersebut kembali kepada keadaan asal pada hari pertama anda masuk. Kalau rumah tu kosong maka kena kosonglah, dia tak nak tengok ada perabut tinggal, ada lampu ada kipas dan sebagainya.
Biasanya anda kena cat balik rumah tersebut seperti yang termaktub dalam agreement. Kalau gagal maka saman, saman dan saman. Kuat betul orang Jerman ni saman orang.
Susahkan? Maka kita beri mata kemenangan besar kepada Malaysia 10-0.
——————————————————————
Jadi cukuplah setakat 10 tu kan? Nanti apa pulak kata orang kan, juara dunia kena belasah 10-0.
Marilah kita sama-sama raikan kemenangan kita ini. Disamping itu saya juga menyeru kepada semua pembaca agar merenung juga di mana kelemahan pihak lawan kita sehingga boleh dibelasah sehingga begitu teruk sekali.
Moga kita dapat jadikan iktibar kekalahan mereka tersebut agar kita terus dapat memperkuatkan dan menambah lagi kemenangan di masa yang akan datang.
Adakah anda betul-betul faham apa yang saya cuba sampaikan ini?
ENTAHLAH…I Dont Know.
Ini adalah repost dari tulisan saya di blog khairulabdullah.com