Bagi korang yang mempunyai perancangan untuk ke bandaraya Bangkok di Thailand, pastinya korang akan teruja dengan perkhabaran baharu ini.
Mulai 28 Jun 2023 esok, syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline akan mula menawarkan laluan penerbangan antarabangsa ke destinasi pertamanya, Bangkok Thailand.
Laluan tersebut akan beroperasi di dua buah lapangan terbang di Bangkok; iaitu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 28 Jun dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang pada 1 Julai kelak.
Sekaligus, MYAirline menjadi syarikat penerbangan pertama dari Malaysia yang beroperasi di dua buah lapangan terbang berbeza di Bangkok.
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu Negara Thailand Kini Tidak Lagi Dikenali Sebagai Bangkok? – REMAJA
Kongsi Rayner Teo yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline sewaktu ditemui dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, laluan antarabangsa ke Bangkok ini akan bermula dengan satu penerbangan sehari. Secara berperingkat, jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada empat penerbangan sehari.
Sebagai info, jenama MYAirline yang diperkenalkan menerusi penerbangan sulungnya pada 1 Disember 2022 telahpun menerima respon positif sepanjang hampir tujuh bulan ia beroperasi.
Buktinya, ia meraih pencapaian satu juta penumpang pada awal bulan Jun dan semalam baharu sahaja menerima sijil kelayakan udara bagi pesawat kelapannya yang akan digunakan bagi laluan Bangkok, esok.
Tambah Rayner lagi, MyAirline sedang merancang untuk memperluaskan rangkaian penerbangan ke bahagian lain di Thailand seperti Phuket, Krabi dan Chiang Mai selain ke negara serantau seperti Indonesia, Vietnam dan Singapura.
ARTIKEL BERKAITAN: AirAsia Tidak Lagi Boleh ‘Duduk Diam’, MYAirline Sasar Tambang Lebih Murah & Tepati Waktu Mulai 2023 – REMAJA
Buat masa ini, MyAirline menawarkan penerbangan domestik ke sembilan destinasi popular dalam negara iaitu ke Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri; kesemuanya dihubungkan dari Kuala Lumpur.
SUMBER: BERNAMA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.