Pelakon sensasi, Na In Woo baru-baru ini telah rasmi mendapat pengecualian dari latihan ketenteraan selepas menunggu keputusan panggilan untuk berkhidmat sebagai pekerja sosial.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya, Hanada Company telah memberitahu The Daily Sports bahawa pelakon ‘Marry My Husband’ berkenaan telah diberikan pengecualian untuk berkhidmat dari The Military Manpower Administration
(MMA).“Na In Woo telah diberikan pengecualian semasa menunggu panggilan untuk berkhidmat sebagai pekerja sosial. Beliau telah dikelaskan sebagai Gred 4 dalam pemeriksaan fizikal tentera dan menunggu untuk dipanggil berkhidmat”
“Namun kerana tidak menerima panggilan dari MMA dalam tempoh tiga (3) tahun, beliau secara automatik layak mendapat pengecualian,” jelas Hanada Company menerusi kenyataan yang sama.
Dalam pada itu, menurut Akta Perkhidmatan Ketenteraan, individu yang menerima klasifikasi perkhidmatan tambahan Gred 4 dan tidak dipanggil untuk berkhidmat dalam tempoh tiga tahun akan diberikan pengecualian latihan ketenteraan.
Sejak tahun 2019, lebih 10,000 individu dilaporkan telah menerima pengecualian ini, dan sekitar 10,000 lagi dijangka menerima status yang sama pada tahun ini. In Woo, dikatakan termasuk dalam senarai tersebut.
Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan In Woo, beliau dijadualkan bakal muncul dalam drama romantik baru MBC berjudul ‘Motel California’ yang akan disiarkan pada 10 Januari.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.