
Selepas kira-kira sebulan direhatkan, tiga penyampai radio 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin, akhirnya kembali ke udara pagi tadi.
Kembalinya mereka disambut gembira oleh pendengar yang tidak henti-henti menyokong kerjaya mereka.
Pengurus Jenama Era, Azah Sahrin, menyatakan bahawa ketiga-tiga penyampai tersebut turut teruja untuk kembali bersiaran di studio.
“Ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk merapatkan semula hubungan dengan pendengar yang tidak henti-henti menyokong kerjaya mereka,” katanya.
Beliau juga menambah bahawa pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang memberi impak positif kepada semua pihak.
BACA: Isu Video Cuit Sensitiviti Kaum: MCMC Serah Notis Niat Penggantungan Lesen Pengendali Radio ERA
Sepanjang tempoh mereka direhatkan, Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq, dan Namie telah menggantikan tempat mereka. Gandingan trio pengganti ini banyak membantu menghangatkan lagi segmen 3 Pagi Era.
“Kami akui mendapat pelbagai maklum balas daripada pendengar ERA yang terlalu merindui telatah dan coletah Nabil, Pak Azad, dan Radin.
“Selepas kami mengumumkan mereka kembali bersiaran seperti biasa, rata-rata pendengar teruja dan tidak sabar untuk mendengar kembali gandingan mereka,” ujarnya lagi.
BACA: Terpalit Isu Klip Menyinggung Kaum India, 3 Penyampai Radio ERA Mohon Maaf Secara Terbuka – Remaja
Sementara itu, Azah turut memaklumkan bahawa walaupun ketiga-tiga penyampai direhatkan, Era tetap fokus memberikan kandungan terbaik sepanjang bulan Ramadan lalu.
Terdahulu, ketiga-tiga penyampai radio Era FM itu telah memohon maaf selepas video yang didakwa mempersenda tarian Kavadi tular. Tarian yang biasa dikaitkan dengan upacara Thaipusam itu dilakukan oleh Azad sambil menyebut “Vel Vel” diikuti dengan gelak tawa.
Insiden tersebut telah mencetuskan kemarahan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan, yang meminta permohonan maaf terbuka dan tindakan terhadap stesen radio Era FM. Ketiga-tiga penyampai tersebut digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Era FM