Penyanyi Nabila Razali dan perancangan gimik setiap kali ingin meluncurkan lagu baharu sememang tidak dapat dipisahkan.
Setelah berjaya ‘memperdayakan’ seluruh Malaysia menerusi klip acah (teaser) Pematah Hati pada tahun 2017 di mana Nabila tampil dalam tangisan air mata setelah ‘ditipu’ oleh bekas kekasihnya, Nabila seakan selesa untuk mengutarakan jalan cerita tertentu setiap kali tampil dengan naskah baharu.
Nabila kembali mendaki carta populariti menerusi Peluang Kedua pada tahun 2020 yang menjadi siulan ramai sepanjang tahun itu sehingga menempah tempat di pentas Anugerah Juara Lagu.
Single Putus yang menceritakan mengenai kisah ditinggalkan kekasih tanpa khabar berita pada tahun 2021 meneruskan elemen episod cinta tragis sebagai elemen penting dalam gubahan lagu Nabila Razali.
Justeru apabila Nabila tampil dengan single Aku Terluka ciptaan Amylea Azizan dan MFMF pada minggu ini, peminat dan pemerhati muzik tempatan seakan sudah boleh membaca gimik yang dirancang Nabila.
Kesemua foto-foto lama di akaun Instagram-nya dipadamkan dan hanya foto acah ‘majlis perkahwinan di tepi pantai’ yang menghiasi ruangan akaun.
Namun kata Nabila, foto perkahwinan bersama MK K-Clique yang dipaparkan dalam video muzik tersebut bukanlah sekadar gimik kosong yang dilihat sudah menjadi rencah promosi karya Nabila Razali. Sebaliknya, ia adalah iklan acah untuk lagu tersebut dan dia tidak berniat untuk mencipta gimik.
ARTIKEL BERKAITAN: “Komen Awak Yang Ke Berapa?” Nabila Razali Teruja Peluang Kedua Raih 66 Ribu Komen Di Youtube – REMAJA
“Bagi saya, apa yang saya muat naik di Instagram hanyalah teaser untuk lagu baru saya. Semua foto itu memang ada dalam video muzik itu.
“Tindakan membuang foto-foto lain di Instagram (adalah) supaya follower fokus dan sedar saya akan mempromosi sesuatu produk.
“Tiada niatpun untuk melakukan gimik. Saya cuma mahu orang berteka-teki dengan kemunculan lagu-lagu baru saya,” ulas penyanyi berusia 30 tahun itu.
Tambah Nabila sewaktu ditemui di sidang media tersebut lagi, Aku Terluka merupakan kesinambungan jalan cerita daripada single Peluang Kedua. Malah disebabkan itu jugalah, MK dikekalkan sebagai pasangannya dalam video muzik Aku Terluka.
“Saya sekali lagi mengajak MK untuk terlibat sama bagi menutup ‘percintaan’ kami dalam lagi Aku Terluka.
“Dalam video muzik ini, apa yang perlu dijelaskan daripada kisah lalu semuanya ada di dalamnya,” kata Nabila.
Menghampir 40 jam selepas video muzik ini menemui peminat di saluran YouTube Nabila Razali Entertainment, ia sudahpun mencatatkan jumlah tontonan sekerap 167,000 kali serta 950 komen.
Tinjauan REMAJA pada ruang komen rata-rata menemui respon balas positif daripada peminatnya yang memuji kualiti lagu, teknik nyanyian serta nilai estetika video muzik Aku Terluka.
“Cantiknya music video ni. Nabila pun cantik juga dalam ni woi..”
“Apasal aku nangis tengok MV ni. Best la Kak Nabb!”
“Mula-mula nampak biasa je lagu ni. Tapi kalau dengar ulang-ulang baru dapat tangkap feel tu.. best okay!”
“I am falling in love dengan gandingan diorang berdua ini. Memang mantap memang padu.”
Tahniah Nabila! Sekali lagi, penantian peminat selama setahun bagi menunggu lagu terbaru daripadanya nyata berbaloi memandangkan Nabila dan pasukannya memilih untuk merancang segalanya dengan teliti hingga mencapai kualiti sebegini.
BACA LAGI: “Tipulah Cakap Saya Tak Menangis..” Nabila Razali Nekad Bangkit, Lancar Je Nyanyi Semalam – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.