Nadhir Nasar & Anna Jobling Kongsi Pengalaman Terima Suntikan Pertama Vaksin

Share

Pada awal bulan ini, rakyat Malaysia diberi peluang untuk membuat permohonan bagi mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca secara sukarela. Walau bagaimanapun, ia hanya terbuka kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kuala Lumpur dan terhad kepada siapa yang cepat.

Bagi Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar dan finalis Dewi Remaja 2018/19, Anna Jobling, mereka telah berjaya mendapatkan suntikan pertama vaksin dan kini sedang menunggu untuk menerima suntikan kedua.

Anna telah mendapat suntikan pertama pada minggu lalu dan Nadhir pula, baru semalam menerima suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Gemilang.
Jom kita ikuti pengalaman mereka menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

“Alhamdulillah, prosedur suntikan vaksin yang Anna lakukan tempoh hari semuanya berjalan lancar dan sangat sekejap. Temu janji pada pukul 11 pagi, pukul 12 tengah hari dah settle semuanya. Pertama sekali, korang perlu mendaftar di kaunter dan akan berjumpa dengan doktor. Doktor tersebut akan bertanyakan tentang kesihatan korang, sama ada mempunyai sakit kronik atau allergic. Sekiranya korang ada soalan berkaitan vaksin ini juga, korang boleh tanya pada doktor yang bertugas itu,”

“Kesan suntikan hanya dapat dirasa selepas 8 jam menerima vaksin itu. Anna mula rasa sakit badan dan demam. Suhu badan Anna mencecah 38.6 darjah Celsius tetapi ia semakin baik pada keesokan harinya. Lengan rasa sakit sikit tapi tidaklah teruk sangat. Ia mengambil masa lebih kurang empat hari untuk Anna pulih sepenuhnya daripada demam dan sakit kepala,” jelas Anna.

Ramai yang berkongsi kesan sampingan vaksin di media sosial, ia secara tidak langsung menimbulkan ketakutan di kalangan masyarakat. Bagi Anna, menyebarkan berita palsu atau artikel yang berkaitan vaksin tanpa sumber sahih daripada hospital atau pihak yang berwajib adalah satu tindakan yang tidak bijak.

“Jangan disebabkan ada yang tidak mahu mengambil vaksin, individu tersebut ingin menakutkan orang ramai tentang kesan daripada suntikan vaksin ini. Setiap vaksin mempunyai kesan sampingan dan secara jujurnya saya lebih rella mengambil vaksin untuk mengelakkan virus ini, daripada berpotensi besar dijangkiti COVID-19. Do your research because you spread false news. But please get the vaccine!,” tegas Anna Jobling.

Lain pula dengan pemenang Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar yang pada mulanya dia sendiri berasa takut untuk mengambil vaksin ini kerana melihat perkongsian kesan-kesan yang diterima di media sosial. Namun, pelakon baru ini mempunyai alasannya tersendiri dan memberanikan diri untuk menerima suntikan vaksin.

“Biasalah, kita hanya manusia biasa. Sebelum ini memang saya banyak membaca tentang pro & cons tentang vaksin COVID-19 ini. Tapi, bila difikirkan balik lebih banyak kebaikannya daripada keburukan. Selain itu juga, saya memikirkan kedua ibu bapa saya yang telah berumur. Macam ayah pun ada kencing manis. Jadi, saya rasa biarlah saya terima dulu suntikan vaksin ini dan lihat bagaimana prosedur serta kesannya nanti. Barulah senang nak uruskan pengambilan vaksin untuk mak dan ayah pula,” jawabnya.

“Selepas ambil suntikan semalam, seharian saya memang tak rasa apa-apa. Cuma sekarang baru rasa tangan ni macam sengal-sengal sikit dan badan mula rasa nak demam. Cuma mild fever saja jangan risau. Doktor pun ada cakap selepas terima suntikan, demam tu memang perkara biasa sebagai tindak balas badan nak menerima vaksin tersebut. InsyaAllah tidak ada apa yang perlu ditakutkan,”

“Namun begitu, walaupun sudah menerima vaksin tidak bermaksud korang tidak akan dijangkiti COVID-19. Doktor pun ada terangkan tentang hal ini. Vaksin akan membuatkan tubuh badan kita lebih immune kepada virus tersebut. Jadi, walaupun selepas divaksin nanti tidak bermaksud saya boleh keluar bersuka-ria di luar. Tetap kena jaga SOP dan memakai pelitup muka,”

“Yang penting saya telah menjalankan tanggungjawab dan berikhtiar untuk mengurangkan penularan virus pandemik ini. Selebihnya kita bertawakal sahaja kepada Allah SWT,” tambah Nadhir lagi.

Anna dan Nadhir bakal menerima suntikan kedua selepas 12 minggu tarikh terima suntikan pertama. Diharap selepas ini tidak ada lagi masyarakat yang berasa takut untuk menerima suntikan vaksin kerana insyaAllah semuanya selamat dan yang penting kita telah sedaya upaya cuba untuk menjalankan tanggungjawab dalam mengekang COVID-19.

Published by
Noor Ain Norman