Tidak dinafikan, slot Astro Originals ialah antara slot hiburan yang sering menghadiahkan konten bemutu kepada penonton; sekaligus mengangkat drama terbitan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi.
Antara karya membanggakan Astro Originals yang masih sering diulang tonton sekarang termasuklah drama Projek: Anchor SPM dan Kampung Pisang Bersiri-Siri.
VIDEO : #GirlPower: Sisterhood Dalam Projek Anchor SPM – REMAJA
Terbaru, siri 12 episod berjudul I-Tanggang sedang menjadi perbualan peminat drama tempatan apabila ia akan mula ditayangkan di Astro Citra pada hari Isnin, 13 September minggu hadapan.
Mengambil naratif baharu dengan memaparkan kisah seorang ibu yang mempergunakan anaknya yang dikatakan sakit demi meraih simpati, sumber pendapatan dan bertujuan membalas dendam; I-Tanggang bukan drama biasa-biasa yang selalu kita tonton di kaca televisyen.
Kategori genre ‘Family Crime Drama’ yang dibawanya ini sudah cukup untuk menyakinkan betapa beratnya drama kekeluargaan ini.
*
Sebut saja tajuknya iaitu I-Tanggang, kita langsung mengaitkannya dengan kisah Si Tanggang yang mengambil konsep penderhakaan. I-Tanggang bagaimanapun tidaklah mengambil konsep derhaka kepada orang tua demi harta tersebut secara literal.
Derhaka di sini diolah dari sudut lain seperti pengkhianatan orang terdekat dengan kita.
I-Tanggang secara ringkas mengisahkan Khalil Rayyan atau Khay; seorang penghidap kanser berkerosi roda. Erma, ibu kepada Khay merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya. Namun dalam diam, Erma berdepan penyakit Munchausen Syndrome by Proxy.
Pada majlis pelancaran bukunya, Erma mengumumkan Khay hanya ada masa enam bulan untuk hidup. Berita ini sangat mengejutkan Khay dan juga ayahnya, Rahmat yang merupakan salah seorang bekas doktor Khay dan sudah lama tidak bertemu anaknya itu.
Disebabkan Rahmat meragui pengumuman tersebut, dia pun menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepada Khay tanpa pengetahuan Erma. Dengan menggunakan telefon tersebut, Khay berjumpa dua rakan dalam talian, Royal E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) untuk menubuhkan kumpulan ‘group chat’ bernama I-Tanggang.
*
Bercakap mengenai watak Syafiq, ia dibawakan oleh Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar.
Nadhir tampil dengan sisi berbeza sebagai Syafiq Hambali, seorang remaja berusia 16 tahun yang terpaksa mengambil alih tugas ibu bapanya sebagai ketua keluarga untuk menyara lima orang adiknya yang masih kecil. Dewasa sebelum matang, Syafiq menyimpan rasa benci pada ibu bapanya yang tidak bertanggungjawab itu.
Bercakap dengan Nadhir dalam sidang media I-Tanggang baru-baru ini, pelakon dan pengacara itu menyifatkan I-Tanggang amat berlainan dengan drama lakonannya sebelum ini dari segi perjalanan cerita dan karakter yang dibawakan.
“Alhamdulillah, I-Tanggang adalah projek kedua saya untuk Astro Originals selepas Projek: Anchor SPM. Penonton tidak akan nampak sisi Helmi (karakternya dalam Projek: Anchor SPM) dalam I-Tanggang.
“Selepas saya ditawarkan watak Syafiq, perasaan saya sebenarnya terbahagi 50-50 memandangkan watak ini amatlah berat untuk saya sebagai seorang pendatang baharu.
“Saya ambil cabaran tersebut dan amat berterima kasih kepada para pengarahnya; Abang Syidi (Rashidi Ishak), kak Liza (Wan Hasliza Wan Zainuddin – Keluarga Iskandar, Kampung People) dan Alaud (Wan Alauddin Wan Zainuddin) di atas tunjuk ajar mereka sepanjang penggambaran,” katanya.
Menerusi I-Tanggang, Nadhir mempamerkan realiti seorang remaja yang tidak menyambung persekolahan demi mencari makan untuk keluarga.
Walaupun dari luaran dia merupakan seorang yang susah, namun Syafiq mempunyai semangat dan harapan dalam dirinya sebagai tonggak utama mengubah nasib keluarganya.
“Saya rasakan ramai penonton remaja akan memahami watak Syafiq yang bermasalah sewaktu usia baru ingin membesar ini. Perasaan dan emosi dalam diri Syafiq ini berlainan daripada diri saya. Contohnya seperti perasaan amarahnya, itu bukan saya.
“Namun, persekitaran tempat tinggal saya sekarang sedikit sebanyak memberikan inspirasi bagi menjayakan watak ini. Memang ada ramai orang yang saya kenali sama seperti Syafiq dan keluarganya. Malah, pelajar di sekolah saya dahulu pun ada yang melalui perjalanan kisah seperti Syafiq.
“Peluang untuk saya ceritakan realiti kepayahan sebenar dalam kehidupan kita semua di kaca televisyen ini adalah satu peluang yang tidak dapat saya lepaskan,” ulas pengacara program Hero Remaja 2021 ini,
Tak sabarkan nak tunggu siaran I-Tanggang ini!
Ia bakal menemui penonton mulai 13 September 2021, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam di Astro Citra, saluran 108.