Inpirasi

Naib Juara Dewi Remaja Bergelar Pemuisi Moden, Ambil Masa 12 Tahun Untuk Bukukan Karya Asli

Share

“Puisi Bukan Milik Golongan Elit Intelektual Saja..”

Naib juara pencarian Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar mengambil langkah di luar kotak dengan memenuhi impiannya untuk melancarkan koleksi puisi sulungnya, tidak lama lagi.

Biarpun kini membina kerjaya guaman sebagai pelatih dalam kamar, Adriana yang merupakan graduan jurusan perundangan daripada Universiti Malaya mampu ‘mencuri masa’ dengan melakukan debut dalam dunia sastera ini menerusi naskah berjudul Everything In Between.

Ia mengumpulkan catitan puisi-puisi yang pernah dihasilkan olehnya dalam tempoh 12 tahun dan ia merupakan cerminan dekat terhadap perjalanan hidupnya yang boleh difahami oleh para remaja di luar sana yang turut melaluinya.

Kini, Adriana sudah bersedia untuk kongsikan sisi dirinya yang berlainan daripada persona sebagai finalis Dewi Remaja satu ketika dahulu.

Adriana Ghafar.
Adriana pada malam finale Dewi Remaja 2019.

“Puisi lazimnya dianggap sebagai karya yang sukar difahami, bersifat tradisional dan khusus untuk golongan elit intelektual.”

“Diinspirasikan oleh pemuisi-pemuisi kontemporari, saya berhasrat untuk mempopularkan puisi dan membebaskan ia daripada ruang bilik darjah dan golongan elit,” kata anak jati Johor itu.

Everything In Between menggabungkan puisi bahasa Melayu dan Inggeris di mana ia menyelitkan tema-tema yang dekat dengan remaja seperti cinta, keluarga, penolakan dan kecekalan.

Dalam pada ia mengandungi mesej khusus untuk golongan wanita, Adriana merasakan anak muda tanpa mengenal jantina juga boleh mencari inspirasi dan kekuatan dalam berdepan cabaran hidup menerusi naskah ini.

Sedikit sebanyak, Adriana ingin meniup semangat ke dalam jiwa pembaca untuk mengukuhkan rasa percaya diri.

Adriana Ghafar (tengah) sebagai Naib Juara Dewi Remaja 2019 bersama Shaza Bae (kiri) dan Nynaa Harizal.

“Saya berhasrat untuk memotivasikan dan memperkasa orang lain agar terus kental dalam mengharungi cabaran hidup.

“Saya berharap agar buku ini menyalakan semangat dalam kalangan generasi lebih muda dan golongan yang terpinggir untuk menjadikan puisi sebgai platform penzahiran diri, menjuarai isu-isu yang dekat di hati mereka dan menginspirasi perubahan yang bermakna,” tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Naib Juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar Tidak Menghilang, Cuma Utamakan Pendidikan – REMAJA

Pra-tempahan untuk Everything In Between akan dibuka menerusi laman web adthebuku.com pada harga RM48. Istimewanya sempena pelancaran ini, ia akan ditawarkan dengan tiga pilihan kulit buku edisi terhad yang ditandatangani oleh Adriana sendiri.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ