Naim Daniel & Redza Minhat Tujukan Ciapan ‘Penunggang Agama’ Kepada Siapa?

Share

 

Kehadiran golongan personaliti agamawan, pendakwah atau penghibur yang menyebar kandungan muzik serta penyampaian keagamaan di Malaysia bukanlah satu perkara baharu.

Sejak era 90-an lagi, negara sudahpun melahirkan sekelompok personaliti yang menghasilkan serta menjayakan pelbagai intipati dakwah baik dari sudut lagu nasyid, filem yang menyampaikan mesej murni dan moral hinggalah ke era 2010 ke atas di mana beberapa pencarian personaliti keagamaan dianjurkan demi melahirkan generasi baharu untuk meneruskan penyampaian bercorak rohaniah kepada masyarakat.

Zaman berubah dan kini, platform media sosial pula yang dijadikan ‘lubuk’ bagi menyampaikan nilai-nilai murni. Dengan sejumlah pengikut yang ramai di media sosial, tidak hairanlah apabila ramai yang sedar akan kelibat beberapa personaliti dewasa dan remaja yang kini lebih kerap berkongsikan mengenai penglibatan mereka dalam aktiviti rohaniah.

Cumanya, sebilangan pengguna media sosial tertanya-tanya sekiranya kandungan yang mereka muat naik itu adalah semata-mata demi ‘content’ ataupun sememangnya ikhlas disampaikan dari hati? Adakah agama sanggup dijadikan sebagai sumber bahan media sosial oleh mereka ini?

Bukanlah untuk menidakkan perkara baik yang mereka ini sampaikan, hanya pemerhati dalam kalangan warganet tertanya-tanya jika perubahan drastik yang berlaku kepada sebilangan personaliti media sosial ini ‘dibuat-buat’ bagi menjernihkan pandangan masyarakat terhadap diri mereka.

Bukan kami tuduh tau, pemerhatian ini hadir daripada beberapa selebriti tempatan sendiri yang beranggapan ada di kalangan mereka yang dikhuatiri ‘menunggang agama’ demi secebis perhatian, populariti dan sebagai pembersih imej.

Komen pelakon yang popular dengan filem Pisau Cukur dan KIL iaitu Redza Minhat menerusi ciapan di Twitter, ia berbunyi, “Apa kata kau berdakwa tanpa mengeksploit orang dan tanpa menjadikannya sebagai kandungan. Haha, saya pasti kau tidak boleh melakukannya kerana dakwah bukannya poin utama kau. Haha.”

Seorang lagi yang turut berpendapat sama dengan situasi ini ialah penyanyi dan pelakon remaja, Naim Daniel. Juga menerusi ciapan di Twitter, Naim mencatat, “Tunggang motorsikal tanpa helmet pun dah bahaya, inikan pula tunggang agama.”

Tinjauan REMAJA pada ciapan yang dimuat naik semuat naik semula oleh warganet menerusi fungsi quote tweets mendapati bahawa mereka bersetuju dengan dua personaliti tersebut.

“Tak flex tak sah zaman sekarang.”

“Hahaha duit tak masuk kalau dakwah tak ada video.”

“Benar #PlotTwistDalamHidupKita.”

“Tunggang agama pakai kopiah, terus jadi tak bahaya.”

Pada REMAJA, bukanlah niat kami untuk menghentam mana-mana individu. Cuma kami terkilan apabila disebabkan seorang dua personaliti yang kononnya ‘menyampaikan dakwah’ tetapi sebenarnya mempunyai niat lain, individu lain yang ikhlas menyampaikan dakwah turut tercalar imejnya.

Bak kata pepatah, disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.

Published by
FZ